LIMBANG: Penduduk digesa menjadikan aktiviti kemasyarakatan sebagai medium untuk memupuk semangat dan perpaduan kaum di antara penduduk kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau YB Paulus Palu Ak Gumbang berkata penganjuran aktiviti seperti ini merupakan medium terbaik memupuk semangat dan jalinan perpaduan di kalangan penduduk kampung.

“Pelaksanaan program seperti Hari Biro Wanita Bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Buluh Baloi ini merupakan medium terbaik antara penduduk dan JKKK.

“Pengisian aktiviti seperti senamrobik, sukaneka dan pertandingan futsal menjadikan penduduk kampung lebih sihat dan cergas,” katanya semasa Hari Biro Wanita Bersama JKKK Kampung Buluh Baloi di Dewan Kampung Buluh Baloi, Limbang, semalam.

Hadir sama isteri ADUN Mary Sindang, Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Batu Danau Adison Langgar dan Penghulu Ekit Ak Awang serta isteri.

Selepas Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) yang lepas, kepimpinan negeri Sarawak di bawah pemimpin tempatan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak.

“Di bawah pemerintahan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, beliau telah meneruskan perjuangan arwah Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem khususnya dalam memperjuangkan hak-hak Sarawak yang semakin terhakis,” katanya.

Pada majlis itu, Paulus Palu Ak Gumbang telah meluluskan geran sebanyak RM15 ribu untuk projek pembinaan pentas dewan, RM2 ribu untuk pembelian kipas angin dan RM3 ribu untuk Biro Wanita Kampung Buluh Baloi.