SETIAP hujung tahun dan awal tahun ibu bapa sibuk membuat persiapan dan menghantar anak-anak mereka yang baru menjejakkan kaki di sekolah rendah dan menengah. Jumlah keseluruhan pelajar di negara ini adalah sekitar lima juta. Itu belum lagi mengambil kira jumlah pelajar dan mahasiswa di pelbagai kolej, universiti dan pusat pengajian tinggi yang lain.

Apabila ibu bapa menghantar anak-anak mereka pada hari pertama ke sekolah rendah,  mereka sebenarnya meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak-anak berkenaan. Setiap ibu bapa mahu melihat anak-anak berjaya dalam pendidikan kerana mereka thau bahawa itu merupakan antara kriteria untuk menjamin survival pada masa depan. Mereka yang berjaya pada hari ini, adalah disebabkan oleh pendidikan yang diperoleh.

Mereka berazam agar anak-anak  terbabit dapat mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik sehingga akhirnya berjaya menggenggam ijazah. Sebahagiannya berazam agar  anak mereka dapat menjadi doktor, jurutera, peguam, saintis, dan pakar dalam pelbagai bidang. Memang tidak salah untuk menyimpan harapan dan azam sedemikian.

Jadi apabila Adun Saribas Mohammad Razi Sitam menasihati ibu bapa supaya memberi sokongan penuh kepada anak yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat menara gading, itu merupakan saranan dan nasihat yang wajar.

Dalam satu majlis di Saribas pada Ahad, beliau berharap ibu bapa tidak menghalang jika anak mendapat tawaran ke universiti awam kerana kerajaan ada pendekatan dan platform membantu pelajar membuka jalan. Jalan di hadapan terbuka luas untuk mereka yang memiliki pelajaran. Tanpa pelajaran sukar untuk mengharungi masa depan dengan yakin.

Sesungguhnya, pendidikan dan pelajaran bukan sahaja bertujuan untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran, tetapi juga wadah untuk mencanai watak dan perwatakan insan menjadi berdisiplin, berakhlak mulia, dan memiliki nilai-nilai positif yang lain.

Perjalanan di alam persekolahan adalah umpama perjalanan beribu batu, penuh dengan ujian, cabaran, dan liku. Hanya mereka yang gigih, tekun dan sabar akhirnya dapat sampai di destinasi dan meraih kejayaan.

Menghantar anak ke sekolah  boleh juga diumpamakan sebagai langkah menyemai benih pokok yang hasilnya bakal dituai belasan atau puluhan tahun kemudian. Sekitar 16 tahun diperlukan seseorang sebelum menggenggam ijazah pertama. Apabila seseorang itu tamat pengajian di universiti, usianya sudah mencecah 22 hingga 26 tahun – usia muda yang cerdas, cergas dan dinamik.

Misi Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara.

Objektifnya pula adalah untuk melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera, menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan dan kemajuan negara, serta memberikan peluang pendidikan kepada semua warganegara.

Menyedari pentingnya pelajaran untuk mengubah nasib seseorang, masyarakat dan negara, maka kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap sektor berkenaan dari dahulu lagi. Peruntukan untuk pendidikan sentiasa diutamakan kerana kerajaan menyedari hakikat pendidikan ialah pelaburan terbaik untuk masa depan.

Kerajaan menyedari bahawa sumber manusia perlu mendapat latihan yang terbaik.  Generasi muda perlu mendapat pelajaran yang berkualiti bagi memastikan mereka dapat berdaya saing dan memenuhi keperluan sumber manusia dalam pelbagai sekotr dan bidang. Jumlah peruntukan besar yang disalurkan ke sektor berkenaan membuktikan bahawa kerajaan memberi perhatian berat terhadap bidang pendidikan.

Pendidikan merupakan jalan paling berkerkesan untuk melahirkan modal insan yang mahir, berilmu, berketerampilan dan berdaya saing untuk membangunkan dan memajukan negara dari semua segi, terutama ekonomi pada masa depan.  

Malaysia yang berusaha untuk muncul sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi percaya bahawa pelaburan dalam sektor pendidikan akan menjadi pemacu  terbaik untuk menghakikatkan hasrat itu.  

Ekonomi kontemporari termasuk ekonomi digital  sangat memerlukan komuniti berpendidikan tinggi bagi memenuhi keperluan guna tenaga yang berpengetahuan dan berketerampilan tinggi.

Seyogia diingatkan, ekonomi negara pada masa kini dan depan dipacu oleh ekonomi yang berasaskan produktiviti. Pembangunan modal manusia melalui pendidikan menjadi antara petunjuk penting kepada kesediaadaan stok sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran.

Sesungguhnya, universiti sebagai institusi pendidikan tinggi memainkan peranan  dan sumbangan penting dalam menyediakan modal insan dan kelebihan daya saing negara ini.

Kalau kita hendak berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain, kita tiada pilihan melainkan perlu terus menumpukan perhatian kepada pendidikan. Semua itu sudah tentu memerlukan pertimbangan munasabah dan bijaksana dari segi peruntukan  kerajaan untuk bidang pendidikan setiap tahun.

Kita tidak boleh mengabaikan bidang pendidikan. Anak-anak muda kita perlu digalakkan untuk menguasai pelbagai kemahiran dan pengetahuan bagi menghadapi cabaran masa depan dalam dunia pekerjaaan dan kehidupan. Sesungguhnya, pendidikan ialah pasport untuk menjamin masa depan mereka. Mereka perlu digalakkan mendapat pendidikan setinggi mungkin, sesuai dengan minat dan keperluan masa depan.

Nikmat pendidikan seperti buah ranum. Ia perlu disemaik dan dibaja dari kecil, dan pokojknya akan merimbun dan mengeluarkan buah yang dapat dinikmati berpanjangan.