Isu mahasiswa lapar hangat  diperkatakan di media sejak kebelakangan ini. Malahan, pada tahun 2016, terdapat pelajar koyak pada usus kerana menahan lapar. 

Wartawan  MOHAMMED REZZA telah mendapatkan pandangan Naib Canselor University College Of Technology Sarawak(UCTS) Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid mengenai isu ini.

SUARA SARAWAK: Prof, saya hendak tanya pendapat Prof mengenai isu mahasiswa lapar yang sedang hangat diperkatakan di dada-dada akhbar.

PROF DATUK KHAIRUDDIN ABDUL HAMID: Saya sudah lama dalam pengurusan universiti. Masalah ini sebenarnya berkait rapat. Zaman saya belajar dulu walaupun dalam serba kekurangan dari pelbagai aspek khususnya kewangan, tetapi ketika itu tidak menghadapi masalah mahasiswa lapar. Sepatutnya apabila zaman sudah beredar dan berubah, isu ini tidak timbul.

Apa yang saya perhatikan pada zaman kami dahulu, keutamaan kami ialah belajar dan apa-apa sahaja sumber kewangan walaupun sedikit, kami tetap tumpukan perhatian kepada pelajaran. Dengan sumber yang sedikit juga, kami gunakan untuk keperluan diri sendiri termasuk makan dan minum.

Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku pada zaman ini ketika Malaysia menuju sebagai negara maju?

Sekarang zaman sudah berbeza dan mungkin waktu kami dulu, kos sara hidup rendah. Kami dapat merasa makan nasi dengan lauk  berharga RM1 hingga RM2. Jadi zaman sekarang sudah berbeza, kos sara hidup semakin meningkat, dan perubahan sistem sosial anak muda juga berubah.

Malah, cara pakaian mereka tak semestinya berjenama dan mahal, tetapi berkualiti, gajet-gajet mereka juga berubah termasuk laptop.

Jadi mereka terpaksa bahagikan kewangan mereka dengan keperluan yang lain. Mungkin keperluan itu terlebih dari segi kos.

Adakah ini bermaksud mahasiswa memberi keutamaan yang salah?

Ini mungkin disebabkan desakan kawan-kawan atau perubahan sosial. Pada saya , kalau pelajar dapat berikan mana satu keutamaan, disiplinkan diri dalam aspek kewangan, mungkin tidak timbul isu ini.

Hal ini disebabkan mereka ada bantuan kewangan seperti PTPTN , dan semua universiti ada bantuan kewangan seperti tabung kebajikan.

Paling penting keluarga perlu mainkan peranan untuk membantu. Kalau mereka disiplinkan diri menguruskan kewangan, mungkin perkara ini tidak berlaku, kalau adapun tak seteruk sekarang.

Bagaimana kesannya kalau kita gagal tangani isu ini. Mungkinkah memberi gambaran buruk?

Sebagai sebuah negara yang menuju negara maju, kalau isu ini tidak dapat diatasi, saya rasa agak menyedihkan. Ini menggambarkan keadaan yang begitu negatif kepada kumpulan mahasiswa universiti ini.

Sebagai pemimpin masa depan, kalau mereka dibiarkan begitu, kalau betul isu ini wujud, maksudnya satu perkara yang tak betul yang telah berlaku dalam sistem sosial kita.

Jadi saya rasa ini dapat diselesaikan melalui dari segi pelajar itu sendiri. Mereka perlu disiplinkan diri untuk menguruskan cara hidup mereka dan menguruskan sumber kewangan yang ada.

Kedua , tekanan luaran seperti kos  sara hidup yang semakin mahal dan pengaruh rakan sebaya yang mendesak mereka belanja lebih.

Terdapat pelajar yang mengadu kos sara hidup di kampus mahal, harga makanan mahal, ditambah dengan perkakas pembelajaran yang semakin mahal. Apakah kaedah yang sesuai membantu mereka? 

Saya rasa sistem ini perlu diperbaiki, pelajar hendaklah mainkan peranan mereka, dan universiti harus mainkan peranan mereka juga.

Contohnya, sewa di kafetaria boleh dikurangkan bagi membantu pelajar, kerana apabila harga sewa murah, peniaga dapat memberikan harga yang murah kepada penyewa. Inilah yang saya lakukan sewaktu saya berkhidmat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dahulu.

Bagaimana dengan peranan keluarga?

Bagi universiti, paling utama ialah membantu pelajar. Memang PTPTN tidak dapat membantu secara menyeluruh. Keluarga perlu bantu mereka. Bukan saya hendak menuduh, ada keluarga yang tak membantu mereka apabila anak mendapat bantuan PTPTN.

Hal ini kerana, banyak komitmen yang dihadapi pelajar, terutamanya makan dan minum, perkakas pembelajaran, dan buku-buku.

Apabila pelajar ini masuk ke universiti, dan mereka terasa bebas dan tidak di bawah tanggungan ibu bapa, ini boleh menjerumuskan mereka ke alam pembaziran lebih-lebih lagi apabila dapat PTPTN. Netizen kata, mahasiswa tidak pandai menguruskan kewangan. Komen Prof? 

 Saya rasa ini hakikat. Apabila mereka  masuk ke universiti, mereka diharapkan boleh berdikari.

Jadi, mereka ini perlu uruskan sendiri kewangan mereka, ditambahkan lagi, tiada pendedahan mengenai isu ini dan ibu bapa seharusnya memberikan tunjuk ajar.

Di pihak universiti, pada minggu suai kenal kami ada menjemput Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan. Kami memberikan mereka satu slot untuk mereka memberikan taklimat kepada pelajar. Tetapi takkan hendak letakkan di bahu universiti, kerana  keluarga juga turut perlu mainkan peranan untuk menyelesaikan masalah ini.

Kaedah membantu pelajar untuk menyelesaikan masalah ini? 

Di luar negara, universiti berikan peluang pekerjaan kepada pelajar di dalam kampus. Contohnya, berkerja di perpustakaan , dan ini boleh menbantu mereka meringankan beban mereka , dan pastikan mereka ini mempunyai masa lapang dan tidak serentak dengan waktu mereka belajar. Dengan langkah ini, kita dapat membantu mereka yang benar- benar terdesak dan di luar negara, ini ialah perkara biasa.

Contoh bantuan yang ada di universiti? 

Di universiti, kita ada tabung kebajikan pelajar. Kita juga boleh tubuhkan tabung endowment agar pihak universiti boleh salurkan kewangan kepada pelajar yang memerlukan.

Segala kewangan yang disalurkan melalui tabung ini, boleh didapati daripada syarikat-syarikat yang ingin menderma untuk  tanggungjawab sosial korporat mereka. Dengan cara ini, kita dapat bantu pelajar, dengan mengurangkan kerenah birokrasi.