Awang Din Ketua Polis Daerah Kuching

KUCHING: Bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Tanah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Supt Awang Din Awang Ghani hari ini memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Kuching yang baharu dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Beliau mengambil alih daripada Supt Ismail Ismail Mahmood yang memangku jawatan Ketua Polis Daerah Kuching setelah persaraan wajib ACP Ng Ah Lek pada Mac tahun ini. Ismail merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah itu.

Majlis serah tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Daerah Kuching telah disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim.

Awang Din yang berasal dari Kuching, Sarawak telah berkhidmat selama 28 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semenanjung sebelum kembali ke tempat asal.

Awang Din  berkata, sesungguhnya mengalas tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah adalah amat berat namun beliau akan memastikan ketenteraman dan keamanan di daerah ini akan terus dikekalkan sepanjang perkhidmatannya.

“Pada saya jawatan yang diterima ini merupakan satu kepercayaaan dan amanah dari pucuk kepimpinan PDRM, dalam erti kata lain pangkat datang beserta dengan tanggungjawab.

“Walau seberat mana tugas yang digalas, ianya boleh diringankan dengan bekerja sebagai satu pasukan dan justeru saya mengharapkan kerjasama daripada semua pegawai serta kakitangan yang telah lama bertugas di daerah ini, ” katanya ketika berucap pada majlis  serah tugas.  — BERNAMA