KUCHING: Penganjuran Majlis Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) yang tinggal 17 hari lagi, kini menjadi lebih meriah, apabila disahkan aktor popular Hollywood, Steven Seagal akan hadir sebagai tetamu khas, ke majlis yang berlangsung dari 25 hingga 27 April.

Seagal terkenal dengan filem aksi seni mempertahankan diri seperti Above The Law sejak tahun 80-an dan selain berlakon, beliau juga seorang produser, penulis skrip dan pemuzik.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dalam satu sidang media berkata, kerajaan negeri amat berbesar hari menjadi tuan rumah kepada Anugerah AIFFA dan bersedia menerima penyertaan-penyertaan dari keseluruhan 10 negara Asean.

“Ini menunjukkan yang AIFFA menerima sokongan dari seluruh negara rantau Asean,” katanya.

Anugerah AIFFA merupakan acara dwi-tahunan untuk kesemua pembuat filem dari 10 negara anggota Asean dan telah mula dianjurkan sejak tahun 2013.

Acara yang kini masuk ke edisi yang ke-4, menawarkan 17 kategori anugerah meliputi kesemua aspek utama dalam teknikal dan kreativiti pembikinan filem.

Sementara itu, Abdul Karim berkata kerajaan negeri Sarawak merancang memberikan beberapa insentif kepada pembuat filem yang hendak menghasilkan filem di sekitar Sarawak.

“Mereka perlu di galakkan kerana keseluruhan negeri Sarawak ini adalah satu pentas atau lokasi filem terbaik.

“Sarawak adalah lokasi terbaik yang akan menukarkan skrip filem menjadi satu seni paparan filem yang menarik dengan landskap yang sukar dilupakan, etnik yang unik dan kebudayaan penuh warna warni,” katanya.– BERNAMA