SEPANG: Sepuluh maut, lapan daripadanya warga asing, selepas bas pekerja dinaiki terjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, lewat malam tadi.

“Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, lapan warga asing dan pemandu bas tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa warga asing meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang,” lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah yang dipetik akhbar itu berkata, hasil siasatan mendapati, bas itu membawa seramai 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MAS Kargo.

Katanya, kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke tempat kerja penumpang terbabit sebelum ia hilang kawalan dan terhumban dalam longkang itu.

“Kesemua pekerja terbabit sepatutnya masuk bekerja pada shif 12 tengah malam ini (tadi).

“Baki 34 penumpang lagi yang cedera dihantar ke hospital di Serdang, Putrajaya, Banting dan Kajang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,”’ kata Berita Harian lagi.

“Punca kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Operasi menyelamat mangsa turut dibantu pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kesihatan Malaysia dan polis bantuan MAS Kargo,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi ini.