SARIKEI: Pembinaan jalan pesisir amat penting kerana di kawasan terbabit terdapat banyak kampung dan rumah panjang, serta pekan pesisir, sekali gus menguntungkan penduduk di kawasan terbabit.

Antara pekan pesisir ialah Lundu, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Maludam, Pusa, Kabong, Betong, Mukah, Balingian, Kuala Tatau dan beberapa lagi.

Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, pelaksanaan jalan pesisir yang dibina oleh kerajaan Sarawak menjadi pelengkap rangkaian perhubungan di negeri ini bagi memudahkan rakyat bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain.

Ini, katanya, akan membantu membuka kawasan dan seterusnya mendatangkan kesan pembangunan sosioekonomi yang membawa manfaat besar kepada rakyat.

Kata Julaihi, pelaksanaan projek berkenaan juga membuktikan komitmen dan keikhlasan kerajaan untuk mengubah nasib rakyat meskipun usaha tersebut berdepan cabaran.

“Usaha membina jalan raya di Sarawak berhadapan banyak cabaran dan kekangan, selain saiz Sarawak yang besar,” katanya.

Jenis tanah yang lembut dan tanah gambut, selain perlu merentasi banyak sungai merupakan antara cabaran, kata beliau.

Julaihi berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Rajang dan Jalan Pasi ke Tanjung Manis, Mukah di sini, Sabtu.