Monday, August 15, 2022

Pindaan Rang yang kurang persona?

Secara Rawak

Akibat dilihat tergesa-gesa untuk membuat pindaan Perkara 1 (2) bagi mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63, menyebabkan tindakan ini menjadi kritikan rakyat Sabah dan Sarawak. Pemimpin-pemimpin politik dan aktivitis juga memberikan reaksi kurang berpuas hati.

Malah pindaan tersebut dikatakan dibuat sebelum Jawatankuasa Kabinet mengenai perjanjian Malaysia 1963 (MA63) belum dimuktamadkan lagi. RUU ini dibentangkan di Dewan Rakyat ditentang oleh ramai ahli parlimen Sabah dan Sarawak yang mahukan RUU tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk kajian menyeluruh.

Kerajaan negeri Sarawak pula berpendirian akan menyokong pindaan kepada Perkara 1(2) dengan syarat pindaan kepada Perkara 160 (2) mengenai definisi ‘Persekutuan’. Ini kerana pindaan kepada Perkara 1(2) sahaja tidak mencukupi bagi memenuhi aspirasi rakyat Sarawak. Pindaan tunggal kepada Perkara 1(2) dilihat tidak akan mencapai tujuannya, melainkan disertai perubahan substantif lain, seperti pindaan kepada Perkara 160 (2).

Pindaan ini sebenarnya akan dapat dimurnikan lagi sekiranya sdibawa dibincangkan di peringkat Dewan Undangan Negeri Sarawak mahupun jawatankuasa perundingan di peringkat negeri. Ini akan dapat memastikan keputusan, prinsip dan kepentingan rakyat dan kerajaan negeri dapat dikemukakan. Malah apa-apa isu yang dipersetujui dalam jawatankuasa Pemandu MA63 perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

Kebimbangan rakyat

Terdapat kebimbangan bahawa pindaan tersebut hanya sekadar pindaan bersifat komestik. Perubahan bersifat kosmetik” ialah perubahan sekadar di tahap mencecah permukaan sahaja tanpa memberikan kesan mendalam kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Impian rakyat dan negeri ialah adanya kenaikan besar-besaran dana Putrajaya kepada Sabah dan Sarawak, autonomi negeri, peningkatan jumlah wakil rakyat dan senator.

Rakyat Sabah dan sarawak sudah sedar kesilapan pemimpin terdahulu apabila membenarkan pindaan 1976 diluluskan dan menyebabkan status rakan kongsi pudar.

Justeru, perlunya peningkatan substantif. Yang lebih penting lagi sejauhmanakah kuasa membuat keputusan diberikan atau terletak pada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dengan lebih baik dan besar lagi. Apalah erti pindaan dibuat, namun perubahan sebenarnya tidak ada impak besar kepada rakyat dan pembangunan kedua-dua negeri.

Pindaan ini perlu diiringi dengan meningkatkan lagi peruntukan daripada Putrajaya kepada keperluan sebenar rakyat Sabah dan Sarawak. MA63 perlu disekalikan dengan OMO 1958 agar tuntutan hak Sarawaknya misalnya lebih bermakna.

Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 memperuntukkan kerajaan negeri kuasa untuk mentadbir sepenuhnya minyak Sarawak dan sumber gas. Ini bermakna ordinan ini mempunyai kuasa mengawal selia aktiviti huluan di negeri Sarawak amat relevan untuk pembangunan negeri.

Sewajarnya isu seumpama penerokaan minyak dan kuasa di perairan serta isu-isu yang boleh dirunding di antara Sabah -Sarawak dengan Putrajaya dapat diselesaikan dengan lebih baik dan cepat lagi dan diberikan keutamaan daripada membincangkan pindaan yang kurang memberikan impak kepada rakyat kedua-dua negeri ini.

Pasti perbelanjaan tambahan Putrajaya diperlukan namun ini sebenarnya tanggungjawab kerajaan pusat di bawah konsep persekutuan. Sabah dan Sarawak perlu diberikan perhatian dari segi pembangunan sesuai dengan keluasan geografinya.

Setakat ini ramai melihat pindaan Perkara 1 (2) bagi mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak tidak ada perbezaan yang jelas. Sebaliknya, sekadar pecahkan kepada (a) dan (b) kurang dilihat sebagai tidak menyamai konsep Persekutuan ialah terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Malah penggunaan perkataan mengelirukan, tidak ada bahagian yang menyerlahkan kesetaraan.

Malah dari satu segi dipersepsikan meletakkan kedudukan Sabah Sarawak sebagai ‘kelas’ yang lain yang cerminkan ketidaksertaan dan bukannya sama dengan Semenanjung Malaysia sebagaimana terkandung dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963.Selagi tidak menggunakan perkataan sebelum pindaan 1976 selagi itulah belenggu persepsi berlaku. Bermakna tidak ada kesan kepada struktur yang sedia ada.

Kesemua ini kelihatan melepas batuk di tangga tanpa perincian dan kurang memenuhi semangat sebenar M63.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru