KUCHING: Kerana mudah terpesona dengan lelaki dari Amerika Syarikat, akhirnya seorang wanita berusia 40 tahun dari Sri Aman kerugian RM159,450.

Lelaki itu hanya dikenali melalui Facebook dan menggula-gulakan wanita itu dengan kata-kata manis sejak Mac 2017 sehingga Disember tahun lalu.

Wanita itu terperdaya dek kelicikan kata-kata oleh kekasih yang wujud hanya di Facebook itu.
Tetapi akhirnya lelaki itu kononnya hendak berjumpa mangsa dengan datang ke negara ini.
Namun, lelaki berjiwa syaitan itu mendakwa dirinya ditahan kastam kerana tidak mempunyai rekod kesihatan!

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superitenden Mustafa Kamal Gani Abdullah, suspek mula meminta wang pada Julai 2017.

Alasannya, visanya sudah tamat tempoh dan mangsa pun memasukkan wang berjumlah RM5,000 ke dalam akaun suspek.

Sehingga Disember lalu, katanya, mangsa melakukan beberapa transaksi sehingga mencecah RM159,450.

“Suspek menggunakan pelbagai alasan seperti bayaran pelepasan duit dan pembelian tiket, sehingga akhirnya mangsa menyedari dirinya ditipu,”’ katanya.

Mangsa membuat laporan polis pada 3 April lalu selepas Facebook dan Whatsapp suspek tidak lagi aktif.

Sarawak menjadi lubuk penipuan bagi penipu di laman maya sejak kebelakangan ini.

Walaupun banyak kes penipuan dilaporkan melalui media, namun ada yang bagai tidak sedar akan kewujudannya.