KUCHING: Kerajaan Sarawak kini berusaha untuk mengurangkan jumlah  pendaftaran warga emas di semua Rumah Seri Kenangan dan Desa Bina Diri di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata niat kerajaan adalah untuk mendidik masyarakat terutamanya ahli keluarga warga emas untuk menggalas tugas menjaga mereka dengan sepenuh perhatian dan bertanggungjawab.

“Kerajaan akan sentiasa memberi bantuan dan sokongan terhadap golongan warga emas dan gelandangan dengan menyediakan kelengkapan kesihatan dan kemahiran asas untuk membantu mereka berdikari,” katanya semasa merasmikan Program Terapi Seni dan Muzik untuk warga emas dan golongan papa di sini semalam.

Setakat ini, Sarawak mempunyai dua Rumah Seri Kenangan masing-masing di sini dan Sri Aman serta satu Desa Bina Diri dengan sejumlah 134 penghuni.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM14,896,280 untuk 21,881 orang penerima Bantuan Orang Tua (BOT) di seluruh Sarawak bagi Januari sehingga Februari tahun ini, yang berjumlah RM350 seorang.

Mengikut sumber dari Jabatan Statistik Malaysia, Sarawak dihuni seramai 7.8 peratus penduduk yang berusia 65 tahun ke atas daripada 2.8 juta penduduk di negeri ini pada 2018,” katanya.

Mengenai program tersebut, Fatimah berkata program hari ini adalah untuk meningkatkan kompetensi dan kecerdasan emosi kakitangan institusi agar dapat membantu meningkatkan kecerian serta kesejahteraan warga emas dan orang papa di pusat jagaan berkenaan.  — BERNAMA