KUALA LUMPUR: Pelakon jelita Fasha Sandha, 35, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya yang juga aktor, Aidil Aziz dengan sekali lafaz hari ini.

Difahamkan majlis penikahan itu berlangsung di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.

Rakaman video ringkas majlis akad nikah itu turut dikongsikan di laman Instagram Aidil, @itsaidilaziz dan @meloditv3.

“Alhamdulillah. Dengan hanya sekali lafaz pasangan pelakon, @itsaidilaziz dan @fashasandha sah menjadi suami isteri. Tahniah, Melodi ucapkan kepada Aidil dan Fasha!” menurut catatan di Instagram Melodi.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan dan Aidil, 30, bertunang pada 18 November tahun lalu sebelum majlis malam berinai diadakan pada 27 Mac lepas.

Ia perkahwinan pertama buat Aidil dan kedua untuk Fasha yang pernah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Rizal Ashram Ramli, pada 27 April 2012 dan bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, Fasha dan Rizal Ashram dikurniakan dua anak, Putra Rayfal Ramli, 5 dan Putri Raysha Jemaima, 4.–BERNAMA