SIBU: Sebanyak empat rumah hangus di Taman Rajang di sini dalam satu kejadian kebakaran tengah hari tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Operasi, PBK II Donny Anak Sumping berkata, bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Panggilan Operasi Negeri pada jam 12.58 tengah hari sebelum tiba di lokasi beberapa minit kemudian.

Katanya, dua jentera scania dan sebuah EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu dikejarkan ke lokasi.

Balai Bomba Sungai Merah juga turut memberikan bantuan dengan menurunkan tujuh anggota.

“Sebaik tiba di lokasi, beberapa rumah terbakar dan beberapa rumah yang berhampiran.

“Semua mangsa terselamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Katanya, seramai 13 mangsa daripada empat keluarga terlibat dalam kebakaran.

“Kebakaran berlaku di tingkat atas rumah, dan kira-kira 65 peratus tingkat atas bagi dua rumah. Manakala rumah sebelah kiri dan kanan rumah mengalami kerosakan sebanyak 15 peratus,”katanya.

Menurutnya, semua 13 orang terdiri daripada empat keluarga sempat menyelamatkan diri sebelum rumah terbakar.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.