Monday, June 27, 2022

Bangunan baharu SK Tanjong diarah siap 25 Mei depan

Secara Rawak

LIMBANG: Lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas ke SK Tanjong di sini semalam membawa sinar baharu kepada projek sekolah tersebut, yang terbengkalai biarpun hampir 93 peratus siap.

Beliau malah menetapkan sekolah yang sepatutnya siap pada 29 September 2017 itu siap sepenuhnya pada 25 Mei depan tanpa gagal.

“Kegagalan menyiapkan pada tarikh yang dipersetujui akan dikenakan tindakan tegas oleh kementerian.

“Kontraktor ini sejak Jun 2018 telah dikenakan LAD berjumlah RM4 ribu sehari atas kegagalan menyiapkan sekolah tersebut,” katanya lagi.

SK Tanjong yang dibina pada 1968 dan terletak hampir 37km dari bandar Limbang kini berada hampir lima meter dari sungai Limbang, dan ini amat membimbangkan warga sekolah.

Sekolah ini mempunyai 114 pelajar harian dan 38 pelajar asrama.

Pada Mac 2017, Kementerian Pendidikan telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk membinaan gantian penuh SK Tanjong di tapak baru yang berada hampir 7 km dari tapak asal.

Gantian ini mengandungi enam bilik darjah, 100 bilik asrama, tujuh unit kuaters dan kemudahan lain.

Ia dilaksanakan secara IBS dengan kos RM23 juta namun gagal siap dalam tempoh enam bulan yang ditetapkan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru