SIBU: Sibu mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan lebih pesat pada pesat pada masa akan datang dengan adanya infrastruktur yang mapan .

Itulah antara petikan ucapan Menteri Kerja Raya , Tuan Baru Bian sewaktu berucap ketika merasmikan Pejabat Baharu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Sibu sebentar tadi.

Baru berkata, “Hal ini kerana, Sibu merupakan bandar ketiga terbesar di Sarawak selepas Miri dan Kuching . Sibu juga dikenali sebagai bandar pelabuhan dan pembinaan kapal yang terletak di tengah-tengah antara timur dan barat Sarawak dan juga penghubung antara pekan-pekan kecil di muara Sungai Rejang yang merupakan pusat perdagangan dan juga pusat pelancongan di Sarawak. Tambahan juga, Sibu merupakan pintu masuk ke Sarawak Corridor Renewable Energy (SCORE).

“Adalah menjadi impian saya supaya Bandar Sibu , dibangunkan dengan cara yang mesra alam sekitar dan tidak bersandarkan kepada pembangunan konvensional semata-mata seperti bandar- bandar yang lain,” ujarnya.

Kata Baru Bian , ” Sibu merupakan sebuah bandar yang baru membangun, tentu masih banyak ruang untuk menerapkan model pembangunan yang mesra alam sekitar.”

Tambahnya , ” Sibu berpotensi menjadi contoh pembangunan bandaraya hijau di Asia kelak, kerana Sibu terletak di lokasi alam semulajadi hutan tropika.”

“Kita boleh mengambil contoh pembangunan di Bandaraya Copenhagen di Denmark. Bandaraya ini, yang dahulunya merupakan bandar terkotor pada sekitar tahun 60-an, kini telah ditransformasikan menjadi Bandaraya Pintar dan bandar paling mesra alam di dunia, ” jelasnya.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Selangau, ” saya berpeluang melihat sendiri bandar ini sewaktu lawatan kerja saya ke Copenhagen pada tahun lepas. Rata-rata penduduk disitu berbasikal ke tempat kerja. Aktiviti ini telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup mereka kerana infrastruktur laluan berbasikal tersedia di semua tempat di bandaraya tersebut.”

“Selain pengeluaran karbon sifar , aktiviti berbasikal ini juga dapat meningkatkan tahap kesihatan penduduk di Bandaraya tersebut. Berbeza dengan bandaraya moden lain di dunia, jumlah basikal di Copenhagen adalah jauh lebih besar daripada jumlah kereta. Perkara ini hanya dapat dicapai melalui penerapan aktiviti berbasikal sebagai budaya penduduk di situ, ” jelasnya.

Tambahnya yang juga Pengerusi Parti Keadilan Negeri Sarawak, ” Selain daripada pembinaan infrastruktur berbasikal, Copenhagen juga telah mewajibkan pembinaan Bumbung Hijau di semua projek pembangunan di Bandaraya ini sejak 2010. ”

“Bumbung hijau merupakan penanaman tumbuhan hijau diatas bumbung bangunan. Copenhagen juga mewajibkan semua bas menggunakan kuasa elektrik. Ini adalah diantara inisiatif bersepadu yang dilaksanakan bagi memastikan Copenhagen menjadi Bandaraya Neutral Karbin menjelang 2025,” jelasnya.