KUCHING: Seorang warga emas cedera di muka selepas diserang seekor anjing hitam ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat Subuh di sebuah surau di sini semalam.

Wan Mohamad Wan Nawi, 75, diserang sekitar jam 5.30 pagi di hadapan Surau Hidayatul Rahman Kampung Gersik.

Akibat cakaran dan gigitan anjing liar tersebut, mangsa mengalami luka pada muka dan segera dikejarkan ke Jabatan Trauma dan Kecemasan Hospital Umum Sarawak.

Keluarga mangsa yang kesal dengan insiden tersebut meminta pihak DBKU mengambil tindakan tegas untuk membasmi anjing-anjing liar ini.

“Ia kini sudah ke tahap mencederakan dan tidak mustahil akan bertindak lebih dari itu.

“Justeru ia perlu dihapuskan secepat mungkin, kerana telah mendatangkan bahaya kepada orang ramai,” katanya.

Laluan serangan tersebut merupakan antara lokasi paling sibuk di sekitar Kampung Seberang Hilir, terutama pada waktu persekolahan.