KEBERANIAN remaja bernama Willy Connoly membaling telur kepada Senator Australia, Fraser Anning atas dakwaan mengaitkan umat Islam dengan tragedi yang menimpa dua buah masjid di Christchurch pada Jumaat terus jadi bualan.

Dia yang turut digelar sebagai ‘budak lelaki telur’ atau The Egg Boy menjadi subjek perbincangan di media sosial sehingga ada yang berpendapat, Connoly boleh dijadikan menantu.

Ciapan selebriti Amerika Syarikat, Nancy Lee Grahn di laman Twitter misalnya menunjukkan Connoly adalah hero baharu dunia.

“Saya fikir dia boleh menjadi menantu lelaki yang baik,” kata aktres Hollywod yang berusia 62 tahun dalam ciapannya sekitar lapan jam lalu.

Sementara itu, keprihatinan masyarakat antarabangsa terhadap Connoly begitu meningkat sehingga terdapat usaha mencari dana bagi membantu remaja berusia 17 tahun itu membiayai yuran guamannya.

Setakat ini, sebanyak AS$17,433 (RM71,335) berjaya dikumpulkan menerusi gofundme.com yang digerakkan oleh penyokong Connolly.

Malah, dana berkenaan turut dikumpulkan bagi membolehkan Connoly membeli lebih telur untuk dibaling kepada individu yang mempunyai pemikiran sama seperti Anning.

Ada yang menganggap, tindakannya itu membuktikan bahawa telur lebih tajam daripada mata pedang.

Malah, ada yang mahu Connoly diberi penghormatan khas kerana berjaya membawa suara netizen sedunia untuk memerangi individu yang bersikap rasis.