SANDAKAN: Kira-kira 30 rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Air di sini pagi ini.

Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Zon Sandakan, Anddre Andrew, panggilan kecemasan diterima pukul 5.28 pagi dan beliau mengetuai sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan bergegas ke tempat kejadian.

“Terdapat seorang mangsa lelaki cedera melecur di bahagian tangan menerima rawatan awal daripada pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Anddre berkata kebakaran terkawal kira-kira pukul 6.30 pagi.–BERNAMA