Namanya Brenton Tarrant, berusia 28 tahun. Kira masih muda dan berdarah muda.

Dia sudah merancang serangan pada tengah hari Jumaat di masjid itu lebih kurang dua tahun.

Darah mudanya menggelegak dan mendidih pada tengah hari Jumaat yang tragis itu.

Lelaki itu membesar di kawasan luar bandar, pekan Grafton, New South Wales, Australia.

Dia dilahirkan dan dibesarkan dalam golongan kelas bekerja dan berpendapatan rendah.

Ayahnya, Rodney meninggal dunia akibat kanser ketika Tarrant berusia 20-an.

Namun, ibu dan adiknya dikatakan masih tinggal di Grafton.

Lelaki ini menggambarkan dirinya sebagai lelaki berkulit putih yang biasa.

Mereka yang mengenalinya menyifatkan Tarrant bekerja sebagai jurulatih kecergasan. Malah, dia dikatakan taasub atau obses dengan kecergasan.

Yang menarik, dia minat mengembara malah melakukan pengembaraan selama tujuh tahun ke pelbagai negara.

Dia juga obses dengan ideologi Neo-Nazi serta mempunyai kebencian melampau terhadap orang Islam.

Dia juga obses dengan serangan pengganas di Eropah antara 2016-2017.

Semalam dia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh.

Ketika di mahkamah lelaki itu menunjukkan simbol ketuanan kulit putih.

Dilaporkan dia tidak menunjukkan tanda kekesalan.

Entah apa yang bermain di dalam kepala lelaki yang menembak kejam jemaah di sebuah masjid di bandar Christchurch, New Zealand.

Ketika melakukan penembakan bersasar dia turut merakamkan secara langsung perbuatan yang menggemparkan dunia itu.

Perbuatannya itu dirakamkan dalam video enam minit 16 saat. Rakaman itu dipercayai dilakukan sendiri lelaki itu, bagai siaran langsung.

Polis New Zealand kini menggesa pengguna media sosial agar mengelakkan berkongsi visual rakaman dalam talian berhubung tragedi tembak-menembak di dua masjid Christchurch pada Jumaat.

Video berkenaan menunjukkan lelaki itu pada mulanya mengambil senjata di dalam kereta di tepi masjid itu.

Kemudian dia kelihatan berjalan ke masjid.

Ya, dia terus meledakkan berdas-das tembakan tanpa ampun di luar masjid.

Dia kelihatan menembak mangsa yang sudah terbaring berulang kali.

Malah, kelihatan menembak secara dekat seorang jemaah yang berusaha melarikan diri.
Lelaki terbabit kemudian berlari keluar dari masjid.

Bagai tidak puas, dia melepaskan tembakan rambang ke tepi jalan.

Katanya dalam video itu: “Looks like we won’t get the bird today boys.”

Dia kemudian masuk semula ke masjid bagi mencari mangsa.

Lelaki itu meledakkan berdas-das tembakan pada jarak dekat.

Lelaki itu kemudian berlari keluar masjid sambil terus melepaskan tembakan yang turut mengenai seorang wanita di tepi jalan.

Wanita itu kedengaran meminta pertolongan daripada orang ramai.