Pembangunan ialah proses pertumbuhan yang disasarkan untuk membawa perubahan kepada kualiti hidup yang lebih baik kepada masyarakat. Perubahan ini sering kali diukur dengan pertumbuhan ekonomi yang mengubah pola atau landskap masyarakat dan kawasan seperti pembentukan kampung baru, pembinaan jambatan baru, wujudnya konsep rumah panjang baru dan sebagainya.

Pembangunan yang berterusan akan membawa pemodenan yang meliputi pelbagai aspek dan lingkup. Dudley Steer, seorang pakar ekonomi pembangunan menyatakan pembangunan tersebut berlaku apabila sesebuah negara berjaya mengurangkan kemiskinan, pengangguran dan berjaya mengurangkan ketaksamaan dalam kalangan penduduk. Dalam konteks ini, kita boleh bertanya kepada masyarakat kita di sekeliling, adakah 3 ciri penting ini benar-benar berlaku dalam masyarakat kita kini?

Sekiranya isu peluang pekerjaan masih menjadi isu utama hingga menyebabkan menyebabkan berlakunya penghijrahan ahli masyarakat kita ke negeri atau ke negara lain untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik, bermakna pembangunan yang diingini rakyat itu belum lagi dapat dipenuhi.

Begitu juga apabila kadar kemiskinan tegar berjaya dikurangkan, golongan berpendapatan kurang 1050 sebulan semakin mengecil, akan tetapi masih lagi berlaku kemiskinan relatif seperti kemiskinan bandaran yang menunjukkan seolah-olah pembangunan tidak seimbang. Jurang golongan kaya dan miskin semakin tinggi, maka ketidaksamaan ekonomi dan sosial kurang mampu ditangani. Inilah perlunya pembangunan yang menyeluruh atau dikenali sebagai pembangunan masyarakat yang luas.

Dalam konteks ini pembangunan yang sering diketengahkan ialah pembangunan ekonomi dan dalam konteks ini kayu ukur dalam penilaian pertumbuhan pembangunan dan ekonomi ialah kadar pertumbuhan yang berlaku. Dalam pembangunan negara seringkali Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Gross Domestic Product (GDP) dijadikan ukur pertumbuhan ekonomi dan pencapaian masyarakat.

Semakin tinggi KDNK maka peratus pendudukan di bawah garis kemiskinan dapat berkurangan dan agihan pendapatan semakin baik dalam penilaian ekonomi. Piawai dan kaedah ukuran ini mempunyai kelemahan yang tersendiri. Yang pertama tidak semua pendapatan dan nilai yang sama. Pendapatan isi rumah bulanan di Sarawak dianggarkan RM4934 pada tahun 2014. Namun ini tidak memancarkan pendapatan sebenar rakyat negeri Sarawak kerana ia bergantung kepada situasi lokasi sosio demografi, kelas kumpulan kerja dan jenis pekerjaan.

Gambar hiasan

Yang penting di sini ialah pembangunan perlu melibatkan proses menyusun dan mengorientasikan semula sistem ekonomi dan sosial dan ini bermakna bukan sahaja melibatkan usaha untuk pertambahan pendapatan dan pengeluaran, tetapi juga proses untuk melakukan perubahan institusi sosial, struktur pentadbiran, pendapat umum, adat resam dan kepercayaan

Pembangunan perlu melibatkan proses menyusun dan mengorientasikan semula sistem ekonomi dan sosial yang bermakna ia bukan sahaja melibatkan usaha untuk pertambahan pendapatan dan pengeluaran, tetapi juga proses untuk melakukan perubahan institusi sosial, struktur pentadbiran, pendapat umum, adat resam dan kepercayaan menurut Michael P. Tadaro ialah ahli ekonomi pembangunan.

Cabaran pembangunan termasuklah hambatan dalam meningkatkan kualiti hidup seperti sikap tidak mahu berubah atau tidak mahu menerima perubahan. Usaha meningkatkan sistem pendidikan, kesihatan, pemakanan, menangani kemiskinan mutlak dan relatif ialah cabaran besar dalam usaha melakukan perubahan. Begitu juga usaha untuk menangani kesamaan peluang, kebebasan dan terus memperkayakan kearifan kebudayaan tempatan yang perlu ditangani secara bijaksana.

Dalam kontek inilah negeri Sarawak memerlukan pembangunan sosio kebudayaan yang lebih terancang, termasuk perubahan lebih dinamik dalam bidang pendidikan, perbandaran, ekonomi desa, menangani tanah adat, minda dan sikap, integrasi dan sebagainya. Ini bermakna pembangunan difokuskan tidak lagi eksklusif kepada ilmu ekonomi semata-mata akan tetapi meliputi pembangunan ilmu sosial.

Matlamat ekonomi pembangunan menyeluruh ialah ke arah pencapaian ekonomi dan sosio kebudayaan yang bersifat kepelbagaian disiplin ilmu dalam menangani mekanisme-mekanisme sosial, budaya, politik dan institusi.

Dengan cara ini usaha merapatkan ekonomi dan sosial, pembanterasan kemiskinan, penaiktarafan kehidupan, modenisasi institusi, peranan serta politik dan ekonomi, demokrasi akar umbi, identiti dapat membentuk sebuah negeri Sarawak yang lebih dinamik.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.