KUALA LUMPUR: Mengaitkan pembunuhan 49 orang umat Islam di New Zealand kepada implikasi yang boleh berlaku di negara ini jika kerjasama PAS-UMNO diteruskan, adalah kenyataan bersifat hasutan dan keterlaluan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan kenyataan ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin seolah-olah mengajak masyarakat bukan Islam di negara ini supaya melihat PAS dan UMNO sebagai musuh atau “entiti yang mereka harus berjaga-jaga.”

“Tindakan individu seperti Chew inilah yang boleh mendatangkan imej buruk kepada nama Malaysia di dunia antarabangsa”, ujarnya mengulas kenyataan pemimpin DAP itu semalam tentang kes tembakan berkenaan.

Namun, tidak lama kemudian beliau telah menarik balik kenyataan itu.

Sedangkan, ujarnya, tidak ada seorang pun rakyat bukan Islam yang menderita sejak negara merdeka di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) atau di negeri yang ditadbir PAS.

Malah katanya lagi, kerjasama UMNO PAS tidak sesekali mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain.

“Kenyataan itu jelas menunjukkan watak sebenar DAP yang sering memainkan sentimen rasis dan agama, walaupun banyak kali kepimpinan mereka cuba menafikannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menggesa Chew menarik balik kenyataan itu.

“Sepatutnya kita di seluruh dunia tanpa mengira apa latar belakang mestilah bersimpati dengan kejadian 49 orang individu yang terbunuh di Christchurch itu, dan bukannya mempolitikkan tragedi itu” katanya.

Jelasnya, kejadian di New Zealand itu adalah kes jenayah yang tiada kena-mengena dengan mana mana parti politik di dunia, tetapi malangnya Chew cuba menjadikannya elemen bagi meniupkan api pergaduhan kaum di negara ini.

“Tindakan Chew sangat tidak bertanggungjawab. Adalah sangat tidak waras untuk mengaitkan kerjasama PAS dan UMNO kepada pembunuhan umat Islam di New Zealand,” jelasnya lagi.

Beliau menasihati ADUN Mengkibol supaya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan dan bukannya bertindak emosional secara sembrono yang akan mengeruhkan keharmonian kaum dalam negara ini.

“Sepatutnya seluruh rakyat Malaysia berdukacita dengan kejadian yang berlaku, bukannya mengambil kesempatan bagi mengapi-apikan pergaduhan kaum,” katanya.