KABONG: Kembara bermotosikal melibatkan seramai 150 penunggang dan kempen pemakaian helmet atau topi keledar menjadi aktiviti awal yang dilangsungkan bersempena dengan sambutan Hari Polis Ke-212 yang akan disambut pada 25 Mac nanti.

Majlis perasmian acara tersebut disempurnakan oleh ADUN Kabong Mohd. Chee Kadir bertempat di pekarangan pekan di sini kira-kira jam 9 pagi tadi.

Chee dalam ucapan perasmiannya berharap pihak polis dan masyarakat akan terus mengekalkan semangat kerjasama yang utuh bagi memastikan keamanan yang dikecapi kini terus dinikmati tanpa dicemari unsur negatif.

“Sumbangan pasukan polis amat besar terhadap negara dan pengorbanan mereka akan tetap diingati sampai bila-bila,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin dalam ucapan alu-aluannya berkata pihak polis sentiasa dekat dengan komuniti setempat bertepatan dengan slogan polis iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Mordani berkata sambutan peringatan Hari Polis secara rasmi akan diadakan di Saratok pada 25 Mac depan.

“Hubungan baik perlu berterusan antara polis dan masyarakat bagi membanteras jenayah di kawasan kita.

“Kita mahu rakyat hidup dalam keadaan aman dan tenteram dengan mengharapkan masyarakat jadi mata dan telinga polis bagi sama sama membendung kegiatan jenayah,”ujarnya.

Hadir sama Pegawai Daerah Kabong, Haji Rashdan Haji Hazemi, ketua masyarakat, anggota PRDM Saratok dan Kabong dan serta tetamu jemputan khas yang lain.