BAU: Penduduk tempatan dinasihati supaya berhati-hati, selain memboikot apa juga barangan yang dijual oleh para peniaga Pakistan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Serembu Miro Simuh menyifatkan kehadiran para peniaga Pakistan di sini sebagai satu gangguan, sekali gus beliau meminta pihak berkuasa bertindak tegas dan pantas untuk membendungnya.

“Saya tak tahu siapa yang patut dipersalah, tetapi yang penting tindakan tegas mesti diambil terhadap kumpulan ini,” katanya.

Kata Miro yang juga Timbalan Ketua Pemuda PBB, pihak berkuasa sebelum ini seolah-olah menutup mata apabila terdapat orang asing berkeliaran secara bebas menjalankan perniagaan di negeri ini.

“Saya menggesa Jabatan Imigresen supaya bersikap proaktif dan membendung isu ini dengan segera,” tegasnya.

Kebimbangan tentang kehadiran warganegara asing mulai tercetus selepas seorang warganegara Mesir ditangkap pihak berkuasa kerana disyaki pengganas.

Pada Khamis lalu, Presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan mendakwa pendatang rakyat Pakistan telah berkunjung dari rumah ke rumah untuk menjual produk.

Beliau turut mendakwa beberapa wanita turut diganggu secara seksual.