KUCHING: Empat belas orang pemancing lega kerana dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Mereka ditahan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) pada Rabu dengan 200kg hasil ikan yang ditangkap turut dirampas.

Difahamkan bot mereka ditahan di perairan Malaysia, iaitu 52.3 batu nautika dari timur laut Tanjung Datu, tetapi berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia.

Selepas ditahan bersama-sama krew, termasuk seorang warganegara Indonesia, bot itu ditunda ke Pulau Natuna Besar, 12 jam perjalanan dari lokasi.

Menurut tekongnya, Abang Abdul Oswazir Abang Ahmad, 47, tembakan amaran sebanyak empat kali dilepaskan oleh TNI-AL.

“TNI-AL menggunakan kapal besar dan bersenjata. Jumlah anggotanya agak ramai, jadi apabila kapal itu mendekati bot kami, kami tersentak,” katanya kepada media semalam.

Mangsa tiba sekitar 1 petang di Kelab Bot Sarawak, Jambatan Santubong di Kampung Rampangi dekat sini.