SONGKHLA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut dilanggar kereta api dipercayai kerana leka bermain telefon bimbit dalam kejadian di Thunglung, Hat Yai petang Khamis.

Jurucakap polis berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang waktu tempatan itu, murid darjah enam berkenaan sedang bermain telefon bimbit berdekatan landasan kereta api.

“Mayat kanak-kanak itu diseret kira-kira 40 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Kereta api itu dalam perjalanan dari Bangkok ke Padang Besar.

Menurut seorang saksi yang enggan namanya disiarkan, kereta api tersebut membunyikan hon sebagai amaran namun mangsa tidak menyedarinya.

“Ketika kejadian, kanak-kanak itu sedang bermain telefon bimbitnya dan kereta api tersebut dari arah belakang.

“Saya pernah memberi amaran kepada kanak-kanak itu supaya tidak berlari atau bermain telefon bimbit berdekatan landasan kereta api atas faktor keselamatan namun tidak endahkan,” katanya.–BERNAMA