KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tragedi di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang telah menjadi krisis pencemaran dan jenayah biokimia yang serius, dan pada skala yang memerlukan segala daya usaha dan perhatian Kerajaan Persekutuan.

“Tindakan yang lewat akan mengeruhkan lagi keadaan ini yang sepatutnya diberikan perhatian dengan lebih cepat. Ia memerlukan mobilisasi segala sumber oleh Kerajaan Pusat,”’ katanya.

Justeru beliau menyeru agar Majlis Keselamatan Negara mengambil alih tanggungjawab bagi menangani krisis tersebut.

“Saranan ini bukan sekadar untuk membendung merebaknya kesan pencemaran sisa toksik ini ke radius kawasan yang lebih luas tetapi menangani kesan jangka masa panjang krisis ini terhadap kesihatan dan kelestarian alam sekitar kawasan Pasir Gudang dan sekitarannya,” katanya melalui kenyataan media.

Katanya, Kerajaan mesti melantik seorang jurucakap yang khusus bagi menyalurkan segala maklumat yang sahih, tepat dan pantas kerana penyampaian maklumat yang cekap mampu membantu rakyat negeri Johor melalui pencegahan penularan berita palsu.

“Semenjak gelombang pertama krisis ini, kerajaan negeri sepatutnya menyediakan sumber maklumat utama yang konsisten untuk mengelakkan kecelaruan,”’ ujarnya.

“Pelbagai maklumat yang tidak tepat telah mendominasi persada media sosial negara. UMNO berharap bahawa kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam menangani krisis dengan sistematik dan berwibawa,” katanya

Katanya lagi, UMNO mendesak sebuah ‘kertas putih’ disediakan dan dibentangkan segera di Parlimen untuk menjelaskan bagaimana krisis ini bermula, sebab-sebab di sebalik kelewatan tindakan Kerajaan Negeri, dan langkah bagi menangani dampak jangkamasa panjang krisis tersebut terhadap Pasir Gudang dan sekitarannya.

“Krisis seperti ini harus ditangani dengan pantas dan menyeluruh. Selain itu, UMNO berharap bahawa pihak di sebalik pertumpahan sisa kimia ini akan mengambil tanggungjawab,” tegasnya.

“Hanya melalui penyediaan ‘kertas putih’, segala ketelusan yang diperlukan dapat dipersembahkan kepada umum. Ia juga akan dapat mengenalpasti segala kelemahan yang mesti segera diperbaiki selain mencari siapa yang harus dipertanggungjawabkan atas kelemahan dalam menangani krisis ini secara pantas dan berkesan,” katanya

Akhirnya, katanya, UMNO mengucapkan jutaan terima kasih kepada pelbagai agensi, pergerakan sivil dan orang ramai yang telah bertungkus lumus dalam membantu dalam pelbagai cara.

“Kepada semua yang terjejas kesihatan mereka, saya berharap mereka akan segera pulih. Marilah kita berdoa agar segala musibah ini akan segera berakhir Insya-Allah,” katanya lagi.