KUCHING: Sekolah Menengah Teknik (SM) Teknik Sejingkat berjaya menempatkan diri di kalangan 21 sekolah terbaik di luar bandar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Sarawak Dr. Hj Azhar bin Hj Ahmad telah mengumumkan prestasi SPM 2018 Sarawak meningkat sedikit berbanding 2017.

“Seramai 36,144 orang calon telah menduduki peperiksaan SPM 2018.

“Manakala, sebanyak 23 buah sekolah telah mencatat keputusan sekurang-kurangnya 10 orang calon yang memperolehi minima Gred A- dalam semua mata pelajaran yang diambil,” katanya semasa mengumumkan dalam satu kenyataan media di sini, pagi tadi.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni menyifatkan kejayaan SM Teknik Sejingkat dalam menempatkan di kalangan 21 buah sekolah terbaik luar bandar suatu yang membanggakan.

“Selepas kejayaan SMK Bako dalam keputusan Sijil Tindakan Pelajaran Malaysia (STPM) 2018 baru-baru ini, satu lagi kejayaan yang dicapai dalam bidang pendidikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

“SM Teknik Sejingkat mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 4.66.

“Kejayaan ini sangat membanggakan kerana dua buah sekolah tersebut berjaya menempatkan dalam kalangan sekolah terbaik di Sarawak,” katanya ketika mengulas mengenai keputusan SPM 2018 yang diumumkan di seluruh negara hari ini.