Tuesday, May 11, 2021

Jokowi dijangka kembali jadi Presiden Indonesia

Mesti baca

Siapakah bakal muncul sebagai Presiden Indonesia selepas pemilihan berlangsung 17 April ini?

Adakah Joko Widodo atau Prabowo Subianto?

Ketika tarikh pilihan raya berbaki sebulan lagi, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi berada dua angka di hadapan pencabarnya Prabowo.

Ini berdasarkan tinjauan pendapat yang dikeluarkan minggu ini di sebalik pelbagai fitnah dilemparkan terhadap Jokowi.

Jokowi yang bersaing mempertahankan jawatannya mengakui diserang dengan empat isu fitnah.

Menurut beliau, isu dan fitnah itu berkembang luar biasa dalam kalangan masyarakat menjelang pilihan raya itu bulan depan.

Isu itu meliputi penganiayaan terhadap ulama, larangan azan, menyokong perkahwinan sejenis dan menghapuskan pendidikan agama.

“Jika ada orang yang tidak salah kemudian dimasukkan ke dalam penjara, beritahu saya. Tetapi jika salah, harus dihukum kerana negara kita ada undang-undang,” katanya di depan penyokongnya pada acara Deklarasi Alumni Sriwijaya Bersatu seperti dilaporkan Antara baru-baru ini.

Jokowi sekali lagi menafikan isu yang mengatakan beliau akan melarang laungan azan.
Jelasnya, isu itu sangat tidak masuk akal kerana Indonesia merupakan negara majoriti beragama Islam.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan tidak akan sesekali menyokong perkahwinan sejenis.
Jokowi sejak memerintah sekitar lima tahun lalu telah membawa banyak pembangunan di Indonesia dengan tumpuan kepada pembinaan kemudahan dan prasarana untuk rakyatnya.

Jokowi memiliki kelebihan sebagai penyandang kali ini, dengan beberapa tinjauan menunjukkan beliau bakal menang dengan undi sebanyak 55 peratus.

Manakala, Prabowo yang sangat dikenali di Indonesia, berada di belakang dengan undi 32 peratus.

Ini kali kedua mereka bertembung untuk menerajui negara 260 juta jiwa dengan 17,500 pulau itu.

Menurut Saiful Mujani Research and Consulting (SMRC), dalam tinjauan yang berakhir Januari lalu berkata, jumlah pengundi atas pagar didapati berkurangan sebanyak 13 peratus daripada hampir 25 peratus beberapa bulan lalu.

Kempen selama enam bulan dikatakan bermula agak perlahan.

Namun, mula meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini dengan debat antara calon disiarkan di televisyen dan perhimpunan di seluruh negara.

Rakyat Indonesia dipercayai akan terus memberi undi kepada Jokowi kerana dasarnya yang merakyat dan sikapnya yang telus.

Secara Rawak

Artikel Terbaru