Siapa yang boleh mendakwa dan mendabik dada bahawa dia atau keluarganya tidak ada hutang langsung?

Kalau benarlah seseorang itu tidak ada hutang, sama ada dia terlalu kaya sehingga tidak perlu berhutang ataupun terlalu daif sehingga tidak ada orang yang sanggup mengambil risiko untuk memberi hutang.

Hakikatnya, kebanyakan kita berhutang, tidak kira apa tujuan kita berhutang. Ada yang berhutang kerana PTPTN, rumah, kereta atau kad kredit. Ada yang berhutang kerana majlis perkahwinan yang mewah.

Hanya untuk memikat gadis idaman hati dan memukau tetamu, ada yang sanggup berhutang puluhan ribu ringgit daripada bank melalui pinjaman peribadi. Sedihnya, hutang belum langsai selepas mempunyai tiga orang anak.

Orang tua-tua pernah berpesan, ukur baju di badan sendiri. Maksudnya, tidak payahlah hendak menunjuk-nunjuk. Kesudahannya diri sendiri yang akan merana.

Disebabkab hutang yang begitu membebankan, ada yang sampai tidak dapat membayar hutang berkenaan. Hutang keliling pinggang akan membelit kehidupan seseorang.

Hutang sentiasa menghantui lebih-lebih lagi jika ada yang berhutang dengan ah long atau ceti haram. Ah long sanggup memburu anda sampai ke lubang cacing selagi mereka tidak dapat balik wang hutang berkenaan.

Bukan kita tidak pernah mendengar mereka ini yang sanggup menyimbah rumah dan kereta dengan cat atau memalukan individu terbabit dengan pelbagai cara.

Jabatan Insolvensi Malaysia berkata seramai 64,632 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 44 tahun telah diisytiharkan bankrap sejak lima tahun lepas. Pada bulan September tahun lalu sahaja 13,338 diisytiharkan muflis.

Antara punca ramai rakyat Malaysia muflis ialah disebabkan hutang rumah dan kereta, serta hutang kad kredit turut menyumbang peratus yang tinggi dalam menyebabkan rakyat Malaysia muflis.

Foto: Bernama

Malah, bilangan mereka yang muflis disebabkan kad kredit meningkat pada kadar yang membimbangkan. Mereka tidak sedar bahawa kad kredit yang digunakan tanpa kawalan dan kesedaran tentang keupayaan untuk membayar balik akan membunuh mereka.

Bukan sedikit yang merana kerana beban hutang kerana kad kredit. Berbelanja menggunakan kad kredit memang seronok, tetapi tidak ramai yang menyedari kadar faedahnya yang tinggi jika seseorang hanya membayar jumlah minimum bulanan.

Laporan Keadaan Isi Rumah Khazanah pula menunjukkan hanya 10 peratus rakyat Malaysia memiliki simpanan yang mencukupi untuk menghadapi krisis kewangan!

Mereka tidak dapat bertahan dari segi kewangan selama lebih dua bulan kalau kehilangan pekerjaan. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya mereka atau negara dilanda krisis kewangan?

Menurut kaji selidik oleh Universiti Malaya, majoriti rakyat negara ini dibebani hutang kerana perbelanjaan tidak terkawal sehingga dibelenggu kesempitan hidup.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial universiti berkenaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Norma Mansor dipetik media berkata, kaji selidik selama setahun itu mendapati perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan membawa kepada masalah hutang.

“Kita ada data menunjukkan ramai rakyat negara ini yang berhutang. Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar adalah cukup tinggi iaitu 80 peratus,” katanya dalam program temu bual ‘Upsound’ terbitan Bernama News Channel.

Apakah makna semua ini? Ada sesuatu yang tidak kena dari segi mereka menguruskan kewangan. Mereka langsung tidak punya kesedaran bagaimana berbelanja dengan berhemat.

Perangkaan ini menyerlahkan kepentingan celik kewangan individu dan keluarga. Setiap orang perlu ada kesedaran tinggi tentang bagaimana mengurus kewangan termasuk berbelanja.

“Pendidikan kewangan, amat penting untuk kestabilan dan kemampanan kepada institusi keluarga yang seterusnya akan membawa kepada pengukuhan dan perbelanjaan berhemat bagi negara ini.

“Saya percaya disiplin fiskal perlu bermula dari rumah. Ibu bapa mempunyai peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka mengenai perkara ini,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail baru-baru ini.

Seseorang perlu tahu membezakan antara keperluan dengan kemahuan. Kemahuan manusia memang tanpa batasan, tetapi manusia perlu mengukur keupayaan.

Bagi membendung lebih banyak yang terperangkap di dalam jaring hutang, adalah penting bagi agensi-agensi terbabit dan pihak berkepentingan untuk mengadakan program celik kewangan bagi membolehkan mereka membangunkan pendirian mengenai kewangan yang betul.