KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan hari ini berkata pelantikan bagi tempoh dua tahun itu berkuat kuasa 11 Mac lepas.

Menurut Gobind, Ahmad Idham merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam industri kreatif selama lebih 25 tahun selain pernah mencatat rekod dan menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Beliau berkata pelantikan itu merupakan keputusan Lembaga berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 bagi menggantikan Shakib Ahmad Shakir yang memangku tugas itu sejak empat bulan yang lalu.

“Kementerian berharap Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu ini akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha-usaha FINAS bagi membangunkan industri ini,” katanya.

Gobind berkata beliau berharap agar ahli lembaga FINAS akan memberikan kerjasama yang penuh kepada Ahmad Idham dalam melaksanakan pembaharuan FINAS berdasarkan hala tuju kerajaan.

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap Shakib untuk perkhidmatan beliau sepanjang menjalankan tugasan sebagai pemangku jawatan tersebut.–BERNAMA