PITAS: Tiga sekolah berstatus daif di negeri ini akan dibaik pulih melibatkan peruntukan berjumlah RM10 juta pada tahun ini, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.

Katanya sekolah tersebut, masing-masing sebuah di daerah Beluran, Tambunan dan Pitas adalah antara 537 sekolah berstatus daif di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius masalah sekolah daif itu yang kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar.

“Kementerian saya memberi keutamaan mengatasi masalah sekolah daif ini yang tahap infrastruktur bangunan pada kategori kritikal termasuk ada yang dinilai pihak Jabatan Kerja Raya bahawa tidak selamat diduduki,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Permuafakatan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) Bongkol di Pitas, hari ini.

Yusof berkata kementeriannya sentiasa berhubung dengan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan untuk memastikan peruntukan dapat disalurkan kepada Sabah untuk membina sekolah baharu atau membaik pulih bangunan sekolah daif itu.

Katanya kerajaan negeri menyasarkan untuk menyelesaikan masalah sekolah daif di negeri ini dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Selain masalah sekolah daif, Yusof berkata turut diberi perhatian kementeriannya adalah membina bangunan baharu bagi sembilan sekolah rendah dan menengah yang berstatus “menumpang”.

Beliau berkata sekolah berkenaan berkongsi bangunan dan kebanyakannya dalam keadaan daif yang memerlukan pembinaan bangunan sekolah baharu.

Menurutnya pada tahun ini, pembinaan bangunan baharu salah sebuah sekolah berstatus menumpang membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Bongkol di Pitas telah diluluskan.

Katanya pembinaan sekolah itu yang pada masa sekarang menumpang di bangunan SK Bongkol dalam proses reka bentuk bangunan dan pelantikan kontraktor akan dimulakan pada tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Yusof berkata sebab itu kuasa autonomi diperlukan kerajaan Sabah dalam mengatasi masalah dan melaksanakan fasa pembangunan infrastruktur sekolah di negeri ini khususnya mengatasi isu sekolah daif.

Beliau berkata ketika kerajaan sebelum ini, pelaksanaan pembangunan infrastruktur sekolah di negeri ini tidak diselaras secara baik dengan kerajaan Persekutuan termasuklah dalam membuat keputusan.

“Apa yang Sabah minta tidak diperoleh menyebabkan fasa pembangunan infrastruktur sekolah tidak terbela.

“Biarpun kerajaan Sabah mewujudkan kementerian saya (Kementerian Pelajaran dan Inovasi), autonomi secara keseluruhan diperlukan termasuk melaksanakan pembangunan infrastruktur pendidikan yang sehingga kini belum diperoleh,” kata Yusof.

— BERNAMA