JOHOR BAHRU: Badan Perhubungan Pas Negeri Johor (BPPNJ) menggesakan agar Kerajaan Negeri Johor mengambil tindakan lebih serius dengan mengisytiharkan darurat di seluruh kawasan Pasir Gudang dengan serta- merta.

Tindakan ini, bagi Pesuruhjaya Pas Johor Abdullah Hussin bertujuan supaya punca sebenar pencemaran tersebut yang telah dikenal pasti itu dibersihkan dan diuruskan dengan sebaiknya.

“(BPPNJ) telah melihat dengan penuh teliti isu yang sedang dihadapi oleh penduduk di Pasir Gudang yang melibatkan pencemaran sisa kimia sehingga ratusan penduduk terpaksa dirawat di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih dan ada yang terpaksa dibawa ke Hospital Sultan Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang kebanyakannya melibatkan golongan pelajar sekolah yang dipercayai terhidu gas kimia berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, walaupun kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Johor pada lewat petang semalam bahawa keadaan masih terkawal, namun BPPNJ mendapati keadaan sebenarnya semakin membimbangkan.

Ini katanya, kerana masih lagi terdapat penduduk terpaksa dikejarkan ke pusat rawatan.