Satu daripada perkara yang menjadi tumpuan dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini ialah pindaan Perkara 1, klausa (2) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong  empat hari lalu berkata Kabinet bersetuju untuk membuat pindaan berkenaan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan kongsi.

Beliau berkata persetujuan untuk meminda perlembagaan berkenaan telah dibuat semasa mesyuarat Kabinet Rabu lepas dan ia adalah satu langkah besar ke arah merealisasikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ini juga merupakan tuntutan kerajaan Sabah dan Sarawak serta janji yang dibuat oleh PH menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu. Malah, ia juga janji BN. Tetapi disebabkan BN kalah, maka menjadi tanggungjawab PH yang membuat janji berkenaan untuk menunaikannya.

Dengan pindaan itu kedudukan Sabah dan Sarawak akan kembali kepada status asal seperti sebelum pindaan pada 1976. Saya percaya kesemua 56 Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan menyokong usul berkenaan nanti. Mereka hendaklah tidak bersikap partisan dalam isu ini; sebaliknya mereka perlu mengutamakan kepentingan Sabah dan Sarawak dan rakyatnya. Perbezaan ideologi politik perlu diletak ke tepi bagi memastikan hasrat dan impian semua tercapai.

Tidak ada sebab untuk mereka tidak menyokongnya, memandangkan ia menjadi harapan mereka selama ini. Lagipun, mereka perlu mengundi di Dewan Rakyat sesuai dengan aspirasi rakyat.

Tidak sukar untuk PH mendapat undi dua per tiga, iaitu 148 orang mengundi daripada 222 Ahli Parlimen yang ada. Malah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abvang Johari Tun Openg memberi jaminan Ahli Parlimen GPS akan memberi sokongan.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan asal selepas pembentukan Malaysia pada 1963, didapati bahawa terdapat satu pengkelasan yang jelas mengenai wilayah-wilayah yang membentuk persekutuan Malaysia iaitu (i) Negeri-negeri Tanah Melayu (ii) Negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak serta (iii) Negeri Singapura.

Ini bermaksud, taraf Sabah dan Sarawak adalah setara dengan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura dan bukanlah salah sebuah negeri seperti mana-negeri-negeri lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Namun kedudukan itu berubah selepas pindaan pada 1976.  Melalui Akta A354 yang berkuat kuasa melalui 27 Ogos 1976, klausa (2)  dalam Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan ini telah dipinda seperti yang terdapat hingga hari ini.

Dalam Perkara 1, klausa (2) yang asal pada tahun 1963 ini, didapati bahawa terdapat satu pengkelasan yang jelas mengenai wilayah-wilayah yang membentuk persekutuan Malaysia.

Dengan pindaan pada 1976 itu Sabah dan Sarawak telah diletakkan sebaris dengan negeri lain di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang asal. Apakah implikasinya? Ini menampakkan seolah-olah berlakunya penurunan taraf daripada “rakan sekutu” Persekutuan Tanah Melayu kepada “anak” kepadanya.

Disebabkan yang demikian itu, kerajaan BN dan kini kerajaan PH berpendapat, pengembalian semula taraf atau status sebagai “rakan sekutu” kepada Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia adalah penting dalam membentuk asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

Kembali kepada semangat asal ketika Malaysia dibentuk penting bagi memastikan negara ini dapat bergerak ke hadapan dengan semangat Malaysia yang tulen.

Di bawah sistem persekutuan, mana-mana negeri tidak boleh berasa terpinggir. Sistem federalisme yang diamalkan di negara ini memberi hak tertentu kepada kerajaan persekutuan dan hak tertentu kepada setiap negeri.

Di sebalik semangat federalisme yang membentuk Malaysia, hak-hak dan kuasa-kuasa autonomi yang diperuntukkan khas kepada wilayah Sabah dan Sarawak tidak harus dihakiskan atau dipandang ringan.

Jika tidak, keadaan ini boleh mencetuskan perasaan tidak senang hati dalam kalangan rakyat di wilayah berkenaan. dengan itu, mungkin sentimen kenegerian dan kewilayahan yang melampau akan berkembang.

Jika ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasikannya, ia tentu boleh jadi api marak yang membakar sentimen rakyat. Jadi, sebelum perkara ini terjadi, maka ada baiknya ia dibendung.

Hak Sarawak dan Sabah perlu dihormati. Mana-mana yang telah terambil dengan sengaja atau tidak sengaja perlu diserahkan balik kepada yang berhak memilikinya. Sebarang rasa tidak puas hati, kekecewaan dan sebagainya akan dapat dibendung.

Oleh itu,  semua lapisan masyarakat di Sabah dan Sarawak perlu memberikan sokongan dan berusaha untuk menjadikan perjanjian MA63 terlaksana  selari dengan semangat dan hasrat asal pembentukan Malaysia sekitar 55 tahun lalu. Malaysia perlu terus bergerak ke hadapan dan mengelak daripada  dibelenggu persoalan ini.