Peristiwa sedih mewarnai politik Sarawak minggu lalu. Presiden PBDSB, Cobbold John Lusoi meninggal dunia akibat serangan jantung di Kuala Lumpur. Pemergian beliau bakal dirasai terutama penyokong PBDSB yang sentiasa berjuang bersama-sama beliau.

Politik Sarawak juga dihebohkan lagi dengan penyertaan beberapa bekas pemimpin parti dalam GPS, iaitu dari PRS dan PDP yang menyertai pentas politik PSB dalam meneruskan karier politik mereka.

Penyertaan Datuk Joseph Entulu Belaun bekas Timbalan Presiden PRS, Datuk William Nyalau, bekas Naib Presiden PRS, dan Sylvester Entri Muran, bekas Naib Presiden PDP menyertai PSB tidak mengejutkan kerana mereka telah lama menjinakkan diri dengan PSB sebelum ini.

Namun, apa yang agak mengejutkan ialah penyertaan Naib Presiden PRS Datuk Masir Kujat yang juga Ahli Parlimen Sri Aman. Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing mengatakan bahawa mereka yang melompat parti ialah jenis yang tidak pandai menghargai dan berterima kasih kepada parti dan pemimpin dalam parti.

Malahan, Setiausaha Agung PRS Datuk Janang Bungsu menyarankan agar GPS bertindak cepat dengan menarik balik peruntukan projek kecil luar bandar (MRP), kedudukan sebagai menteri dalam barisan kabinet kerajaan negeri, jawatan setiausaha politik dan sebagai pemimpin akar umbi yang berkaitan dengan PSB.

Kenyataan ini amat tepat sekiranya GPS menghormati pendapat parti yang bergabung membentuk GPS.

Persoalannya, adakah perkara ini akan memberi kesan kepada hubungan parti komponen dalam GPS? Adakah para pemimpin atasan dalam GPS berani bertindak?

Hakikatnya, penjenamaan semula UPP kepada PSB  memberi tamparan hebat kepada PRS, SUPP dan PDP. Hal ini kerana, PSB turut mengisytiharkan bahawa mereka mendukung kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Apakah maksud perkara ini? Dalam masa yang sama, beberapa orang ahli dan bekas ahli PRS dan PDP menyertai PSB.

Untuk rekod, bagi PRS, seramai 14 orang ahli termasuk bekas ahli telah menyertai PSB.

Ini menyebabkan PRS terkesima terutama dengan ahli parti yang selama ini memilih atau bersama PRS sebagai wadah perjuangan.

Apakah tujuan utama kemunculan UPP yang dijenamakan semula sebagai PSB dalam politik Sarawak? Adakah tangan ghaib memainkan peranan dengan penjenamaan semula UPP kepada PSB sebagai sebuah entiti baharu politik di Sarawak?

Persoalan ini menarik untuk dirungkai tatkala politik Sarawak menuju PRN-12 nanti.

Apa yang jelas, PSB merupakan ancaman kepada tiga parti utama dalam GPS, iaitu PRS, SUPP dan PDP. Kemungkinan akan lebih ramai lagi ahli daripada ketiga-tiga komponen parti dalam GPS tersebut akan menyertai PSB dalam mendepani PRN ke-12 nanti.

Namun begitu, sekiranya ini merupakan strategi politik, sama-sama kita nantikan kesan daripada strategi politik sebegini.

Realitinya, apabila dilihat secara mendalam, kewujudan PSB makin menyerlahkan lagi perpecahan dalam kalangan kaum Dayak terutama kaum Iban yang merupakan majoriti di Sarawak.

Perpecahan kaum Dayak terutama Iban dalam politik tidak pernah selesai sejak zaman PBDS dan SNAP lagi. Majoriti pemimpin serta ahli yang menyertai PSB ialah kaum Dayak, iaitu kaum Iban.

Dalam sejarah politik Sarawak, perpecahan dalam kalangan Dayak merupakan kerugian besar kepada masyarakat Dayak yang merupakan majoriti di Sarawak.

Mana-mana parti politik di Sarawak, ada kaum Dayak menyertai parti tersebut? Di manakah kedudukan mereka dalam parti yang mereka sertai?

Justeru kepada PSB, persoalan ini harus dijelaskan: Adakah PSB akan mengutamakan penyatuan Dayak dalam perjuangan mereka?

Realitinya, dalam sebuah negara demokrasi, kewujudan lebih banyak parti politik dapat menyuburkan serta memeriahkan lagi proses demokrasi dalam sesebuah negara.

Namun begitu, sekiranya kewujudan sesebuah parti politik hanya bertujuan untuk memecahkan lagi sesuatu kaum demi kepentingan kuasa serta politik sempit, rakyat tidak perlu memberikan sokongan serta dukungan kepada parti seperti ini.

PSB yang nampak diterima oleh rakyat Sarawak terutama dalam kalangan kaum Iban dalam berapa hari sebelum ini menyaksikan penghijrahan ahli-ahli parti politik

Amat besar harapan agar PSB menjadi entiti parti politik yang dapat menyatukan kaum Dayak terutama kaum Iban di Sarawak.

Mungkinkah ramai lagi ahli daripada parti politik yang lain menyertai PSB dalam masa setahun dua ini?

Kehadiran PSB tentu memeriahkan lagi pentas politik di Sarawak. Tidak dinafikan PSB telah mengundang keresahan kepada parti-parti lain di Sarawak.

Penulis ialah pensyarah sains politik dan penganalisis politik  di Universiti Malaysia Sarawak.