KUCHING: Rakyat di kawasan Demak Laut disaran mengambil bahagian dalam bidang kemahiran teknikal yang menawarkan gaji lumayan dalam pasaran kerja tempatan dan antarabangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abg Hipni berkata permintaan yang tinggi dalam bidang kemahiran teknikal membolehkan mereka mendapat tawaran kerja dengan gaji lumayan.

“Hari ini, bidang kemahiran teknikal mendapat tempat di pasaran kerja sejajar dengan perkembangan sektor perniagaan berasaskan teknikal.

Foto Jiwa Bakti

“Sektor minyak dan gas, misalnya menjanjikan peluang pekerjaan yang tinggi selain menawarkan gaji lumayan.

“Begitu juga dengan bidang perubatan yang mana ketika ini sedang menuju ke arah teknikal,” katanya berucap di penutupan Pameran Bidang Technical Vocational Education and Training (TVET) Kampung Bako di Dewan Kampung Bako Hulu.

Antara institusi kemahiran yang mengambil bahagian ialah TEGAS, Giat MARA, Centre of Technical Excellence (CENTEXS), Petrosar, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), i-Cats dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sejingkat.

Mereka yang mempunyai kepakaran dalam kemahiran teknikal ini berpeluang bekerja di luar negara yang semestinya menawarkan pendapatan yang tinggi selain dapat menerokai teknologi terkini.