KUALA LUMPUR: Seorang ibu yang berada di dalam pesawat Saudi Airlines dari Jeddah menuju Kuala Lumpur, tiba-tiba mendakwa tertinggal bayinya di terminal Lapangan Terbang Jedah.

Keliru dan simpati dengan hal yang berlaku, juruterbang segera meminta kebenaran staf kawalan trafik udara untuk berpatah balik dan mendarat: “Semoga Allah menyertai kita, bolehkah kita kembali atau bagaimana?” Ujarnya memetik Mirror Online.

Akhirnya pesawat tersebut berpatah balik semula, kemudian mendarat menyebabkannya lewat 54 minit sebelum tiba di destinasi Sabtu lalu.

Seorang pengguna Twitter merakamkan kisah ini bagaimanapun mendakwa, wanita tersebut sebenarnya tidak meninggalkan bayinya di terminal lapangan terbang.

Sebaliknya, bayi tersebut berada bersama kakak wanita tersebut.

Mereka dikatakan terlepas penerbangan berkenaan kerana menaiki bas yang salah.

“Penerbangan ini meminta untuk kembali… seorang penumpang terlupa bayinya di terminal, perkara yang buruk,” ujar pengguna Twitter tersebut.