SPAOH: Tuduhan bahawa kerajaan Sarawak merampas tanah rakyat di negeri ini sama sekali tidak benar.

Ketua Menteri berkata, tuduhan sedemikian hanya untuk mencalarkan imej kerajaan.

Pembangkang, kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyebarkan dan menyemarakkan dakwaan dan fitnah sedemikian untuk memburukkan nama kerajaan demi kepentingan politik mereka.

“Itu hanya dakwaan dan fitnah jahat pembangkang, menuduh kerajaan mengambil tanah,” kata  beliau dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini, Isnin.

Seramai 470 pemilik tanah Hak Adat Bumiputera menerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di majlis itu.

Penyerahan hak milik tanah berkenaan, katanya, bukti kerajaan prihatin terhadap keperluan dan kehendak rakyat.