KUCHING:  Pihak polis menahan seorang lelaki Mesir dan pasangan warga tempatan berusia antara 20 dan 54 tahun di Serian pada 2 Februari lalu kerana didapati menyembunyikan maklumat kehadiran dua operatif kumpulan pengganas tersebut, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Fuzi Harun.

Katanya, dua anggota kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia merancang untuk melancarkan serangan berskala besar terhadap negara ketiga selepas menyusup masuk ke Malaysia digagalkan apabila mereka ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan Sarawak bulan lalu.

Turut ditahan dalam operasi dilancarkan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman pada 2 hingga 9 Februari itu adalah tujuh individu termasuk lima warga Mesir merupakan fasilitator yang menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, pekerjaan dan pembelian tiket penerbangan kedua-dua pengganas tersebut.

Foto Ihsan PDRM

Mohamad Fuzi berkata, penangkapan dibuat selepas polis menerima maklumat daripada agensi perisikan asing mengenai kehadiran suspek ‘foreign terrorist fighter’ yang merupakan anggota kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang beroperasi di utara Afrika.

“Dua lelaki yang masing-masing berasal dari Mesir dan Tunisia itu didapati menyusup masuk ke negara ini pada Oktober tahun lalu menggunakan pasport palsu Syria dengan tujuan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum menyusup masuk ke negara ketiga untuk melancarkan serangan.

“Kedua-dua suspek berusia 20 dan 21 tahun itu ditahan pada 4 Februari lalu di ibu negara. Siasatan lanjut mendapati mereka merupakan anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang berpangkalan di utara Afrika dan pernah ditangkap pada tahun 2016 ketika cuba menyusup masuk ke negara Afrika Tengah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Fuzi memaklumkan, polis juga berjaya menahan tujuh individu iaitu lima warga Mesir yang merupakan ahli Ikhwanul Muslimin dan dua warga tempatan yang menjadi fasilitator dengan membantu melindungi kedua-dua anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia terbabit sepanjang mereka berada di negara ini.