SERIAN: Polis percaya berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di sini, dengan tertangkapnya 41 individu disyaki pengedar bahan terlarang itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abdul Latif berkata tangkapan itu hasil operasi bersepadu yang dijalankan di 19 kampung sekitar Serian.

Beliau berkata dua daripada 41 individu terbabit ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Kesemua ditahan berusia 15 hingga 50 tahun. Operasi ini bermula pagi tadi melibatkan 23 pasukan terdiri daripada 101 pegawai dan anggota,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian di sini, pada Ahad.

Sahar berkata polis turut merampas selaras senapang dan pedang pendek selain dadah jenis syabu dianggarkan seberat 52.6 gram dan ganja 6.3 gram, yang keseluruhannya bernilai RM10,715.

“Saya boleh katakan operasi ini berjaya sepenuhnya kerana sebelum ini kita menyasarkan untuk menangkap 28 individu disyaki pengedar dadah di kawasan ini,” katanya.

Namun, beliau berkata lebih memeranjatkan dalam operasi itu apabila tangkapan dilakukan melibatkan satu keluarga terdiri daripada bapa, anak berusia 20-an serta lima anak saudaranya berusia 15 hingga 20-an.

Katanya kesemua individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 15(1)(a)ADB 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.  — BERNAMA