Wednesday, August 17, 2022

Kabong gempar: Pekedai runcit ditetak tiga kali, tangan putus

Secara Rawak

KABONG: Kejadian seorang lelaki berusia 25 tahun ditetak dengan parang sehingga tangannya putus menggemparkan penduduk pekan kecil yang biasanya aman malam tadi.

Kejadian berlaku pada jam lebih kurang 10. 30 malam di sebuah kedai runcit di sini.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Kinik Kesihatan Kabong dan seterusnya dibawa ke Hospital Sarikei untuk rawatan susulan. Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.

Suspek , 24, diserahkan oleh ayahnya sendiri kepada polis sekitar jam 11.15 malam selepas diberitahu oleh penduduk.

Ketika kejadian mangsa dilaporkan berada di dalam kedainya dan suspek telah menyerbu masuk ke dalam kedai runcit tersebut dengan membawa sebilah parang panjang.

Dilaporkan, tanpa berkata apa-apa tiba-tiba suspek meluru ke arahnya dengan mengangkat parang panjang lalu terus menetak ke arah mangsa.

Mangsa yang terkejut dikatakan tidak sempat berbuat apa-apa dan cuba menghalang tetakan tersebut dengan menggunakan tangan kirinya sehingga menyebabkan tangan kirinya putus.

Mangsa terpinga-pinga kerana tidak mengenali suspek dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa pun.

“Tetakan sebanyak tiga kali yang dibuat oleh suspek terhadap mangsa telah mengakibatkan tangan kiri mangsa putus mulai hujung jari sehingga pergelangan tangan, “ kata laporan polis yang dibuat di sini.

Gambar tangan mangsa yang putus itu tular di media sosial hari ini.

Punca kejadian belum dapat dipastikan dan polis masih meneruskan siasatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru