ISU rakyat tanpa kewarganegaraan disebabkan tiada sijil beranak dan kad pengenalan meskipun lahir secara sah di negeri ini sudah berlarutan sekian lama.

Anaklah yang menjadi mangsa seperti yang menimpa seorang pelajar berusia 19 tahun, Wennie Liaw Tze Shyan seperti dilaporkan pada halaman depan akhbar ini semalam.

Apakah sebab dan punca masalah ini berlarutan dan bagai tiada jalan penyelesaian walaupun kerajaan sebelum ini sudah mewujudkan jawatankuasa khas untuk menanganinya?

Dua orang timbalan menteri dari Sarawak diserahkan tugas dan tanggungjawab untuk menangani isu ini membuktikan komitmen dan azam politik kerajaan ketika itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat ketika itu diminta mengetuai gerakan agar isu itu dapat ditangani lebih efisien.

Tetapi, sejauh manakah kejayaan jawatankuasa itu menyelesaikan masalah berkenaan? Kalau berjaya, mengapa masalah itu masih wujud?

Kerajaan difahamkan sentiasa mematuhi syarat ditetapkan oleh undang-undang untuk memberikan kewarganegaraan dengan memastikan kad MyPR dan MyKas diberikan kepada individu yang benar-benar layak serta dapat memberikan sumbangan signifikan kepada negara.

Malah, bagi golongan yang berumur 60 tahun ke atas kelonggaran kewarganegaraan diberikan oleh kerajaan dengan mengambil kira faktor pengetahuan bahasa namun hanyalah bagi kes-kes tertentu sahaja.

Malah, pemohon yang layak dengan mengemukakan dokumen lengkap dijanjikan untuk diluluskan permohonan mereka sebelum September, tetapi kerajaan Barisan Nasional yang membuat janji berkenaan tewas pada 9 Mei lalu.

Kerajaan harus dilihat serius menangani permasalahan ini kerana kes seperti ini telah berlaku dalam tempoh yang lama.

Mereka bukan sahaja tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, malah sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Tanpa dokumen pengenalan diri yang sah samalah seperti seorang pendatang tanpa izin di negara ini. Adakah ini adil untuk anak-anak yang menjadi mangsa kepada keadaan?

Program turun padang pasukan petugas khas perlu dipergiat ke seluruh pelosok negeri, terutama di pedalaman Sarawak. Kita tidak boleh membiarkan gejala ini berlarutan kerana implikasinya amat mendalam dan besar terhadap pelajar dan individu terbabit.

Kerjasama ketua kaum dan pemimpin tempatan adalah perlu. Mereka tentu dapat membantu dengan membuat perisytiharan berkanun bahawa pemohon dilahirkan dan tinggal di kawasan mereka bagi membolehkan sesuatu permohonan diluluskan dengan serta-merta.

Kerajaan diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini. Isu ini harus diselesaikan dengan semangat jujur dan tegas untuk segera menyelesaikannya. Masa untuk mencari helah sudah berlalu.