Apabila ahli Parlimen Sri Aman yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Masir Kujat, mengisytiharkan keluar parti untuk menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dulu dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP) ini menyebabkan impak kepada PRS.

Ini seolah-olah presiden PRS Tan Sri James Masing semakin kurang kawalannya terhadap partinya sendiri. Adakah ini menandakan hayat politik PRS semakin pendek apabila pilihan raya negeri Sarawak semakin hampir dalam tempoh 2 tahun ini?

Kedudukan Datuk Masir Kujat selaku mantan naib presiden PRS sudah tentulah mempunyai banyak pengaruh dan pengikut khususnya di kawasan yang diwakilinya. Hal ini bermakna pengaruh PRS di Sri Aman kini diambil alih oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB). Sudah tentu, agak sukar James Masing mencari pengganti yang berpengalaman luas dan lama serta ramai pengikut seperti Masir untuk dicalonkan di parlimen Sri Aman pada masa akan datang.

Masir ialah mantan Timbalan Menteri Dalam Negeri menyertai PSB dibuat selepas mengambil pertimbangan bahawa mengambil kira parti berkenaan dilihat mampu menyatukan semua kaum di Sarawak. Selain itu, beliau melihat parti tersebut ialah parti berbilang kaum yang mampu berjuang mempertahankan hak rakyat Sarawak. Beliau menganggap PSB adalah parti terbaik dan menjadi landasan untuk berjuang mendapatkan hak masyarakat Dayak di Sarawak.

Bagi tujuan strategi politik mendapatkan sokongan masyarakat Dayak khususnya Iban yang mewakili 30 peratus, PSB perlu memperbanyakan lagi penyertaan etnik Iban dalam PSB khususnya dalam barisan kepimpinan PSB. Sekiranya ini dilakukan barulah PSB dapat bersaing dengan parti berteraskan Dayak seperti Parti Rakyat Sarawak. Inilah baru dikatakan sebagai landasan untuk memperjuangkan masyarakat Iban yang merupakan etnik majoriti.

PSB pada masa kini dipimpin oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Wong Soon Koh manakala Timbalan presiden pula etnik Bidayuh, iaitu Jerip Susil manakala Naib presiden pula ialah Ranum Mina juga Bidayuh.

Dalam politik Dayak isu kepimpinan sering kali menyebabkan perpecahan parti.

Misalnya, apabila Leo Moggie tidak berpuas hati dengan kepimpinan James Wong Kim Min selaku presiden SNAP dan gagal menjatuhkan kepimpinan James Wong dan kalah dalam pemilihan presiden, ini telah membawa Leo Moggie menubuhkan parti baru bersama Daniel Tajem pada tahun 1983. Maka wujudlahlah Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS).

Namun apabila parti berteraskan Dayak ini berkonflik sesama mereka yang mengakibatkan parti ini parti ini pernah dibubarkan dua kali, iaitu tahun 2002 dan 2004. Hal ini berlaku kerana berlakunya krisis kepimpinan Datuk Daniel Tajem sebagai presiden PBDS dan James Masing sebagai pencabar politik.

Kesannya, parti PBDS dibubarkan dan di sinilah munculnya pembentukan dua parti baru iaitu Parti Rakyat Sarawak yang dipimpin oleh James Masing and Datuk Sng Chee Hua pada tahun 2004. Parti Bansa Dayak Sarawak (Baru) hanya berjaya didaftar semula pada tahun 2013 kerana sejak dari awal penubuhan Malaysian Dayak Congress (MDC) gagal didaftarkan.

Kini PRS bergolak lagi sejak James Masing memecat timbalannya Joseph Entulu ketika itu ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri. Empat lagi pemimpin Parti Rakyat Sarawak (PRS) turut dipecat termasuk mantan penyandang kerusi Parlimen Lubok Antu, Datuk William Nyalau Badak, serta tiga Ahli Majlis Tertinggi parti itu, Nyempah Sabot, Adriana Chumang Nyambong dan Edward Kurik.

Kesemua pemecatan ini dilakukan menjelang pilihan raya umum 2018 dan ini menyebabkan kerusi PRS yang sepatutnya menang namun tewas akibat tindak tanduk Masing yang kurang dapat mengawal partinya sendiri. Sekiranya ini berlaku berterusan, hayat politik PRS boleh berakhir khususnya apabila timbulnya parti baru, Parti Bersatu Sarawak (PSB) yang berpotensi mengambil alih peranan parti Rakyat Rakyat Sarawak (PRS).

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.