JAKARTA: Menjelang pemilihan Presiden 17 April ini, calon Presiden Indonesia, Joko Widodo kini berdepan dengan fitnah yang melampau.

Tinggal 40 hari lagi sebelum rakyat republik itu membuang undi di negara 260 juta itu.

Jokowi, begitu beliau mesra disapa berdepan empat isu fitnah.
Ini melibatkan kes ulama yang dikaitkan dengan salah laku jenayah, larangan azan, perkahwinan sejenis, dan penghapusan pendidikan agama.

“Kalau ada orang yang tidak bersalah, kemudian dimasukkan ke dalam penjara, beritahu saja pada saya untuk saya uruskan.

“Tapi jika (individu) itu bersalah, ya harus dihukum kerana negara kita ada undang-undang,” ujar Jokowi seperti dipetik detik.com.

Jokowi juga kembali menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mengeluarkan arahan supaya laungan azan dilarang.

“Mana mungkin? Mana mungkin ada Presiden yang berani (melarang azan),” tegasnya.

Jokowi juga didakwa membenarkan perkahwinan sejenis jika terpilih sekali lagi sebagai Presiden Indonesia.

Empat isu itu sedikit banyak menjejaskan persepsi kepercayaan dan kelayakannya untuk mempertahankan jawatan itu untuk kali kedua.

Menurut jejak pendapat atau survei, gandingan Jokowi-Ma’ruf kini memperlihatkan prestasi undi mencecah sehingga 54 peratus.

Gandingan mereka akan ditentang oleh Prabowo-Sandiaga yang dilaporkan mendapat sokongan 36 peratus undi.