SIBU: Kewujudan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) sama sekali tidak boleh menyangkal kuasa Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) kerana ia adalah undang-undang yang yang hidup dan kekal.
Itulah yang dikatakan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan serta Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Binti Sayeed Aman Ghazali di dalam pembentangan syarahan umumnya di University College Of Technology Sarawak semalam.
Jelas Hasidah, ” PDA74 adalah undang-undang persekutuan manakala OMO58 adalah undang-undang negeri Sarawak. Jadi, Petronas mesti akur dengan undang-undang OMO58 apabila mengendalikan sumber minyak dan gas di Sarawak.”
Hasidah berkata, ” Dengan sahnya OMO58, ada ramai pihak yang menggesa bahawa PDA74 adalah tidak sah dan harus dibatalkan , tetapi Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan untuk menyelesaikan isu ini melalui rundingan bersama Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu.”
“Hal ini kerana, untuk membatalkan PDA74 , kesemua Ahli Parlimen kena bersetuju untuk memansuhkannya atau melalui pengadilan di Mahkamah Persekutuan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang.
Katanya lagi, ” semua sumber gas dan minyak daripada tanah Sarawak adalah hak milik kita . OMO58 tidak bercanggah dengan PDA74 sebab PDA74 hanya memberikan kuasa sepenuhnya kepada Petronas untuk mengurus selia minyak dan gas kita tetapi kedua-dua sumber ini tetap milik kita.”
“Keuntungan pendapatan berbilion ringgit daripada hasil kedua-dua sumber ini menjadi sumber pendapatan Sarawak untuk membangunkan negeri khususnya di luar bandar,” jelasnya.
Nasihat Hasidah kepada penonton , PDA74 dan OMO58 merupakan dua undang-undang yang mesti dibaca bersama.