Wednesday, August 17, 2022

Sukat tanah guna Seksyen 6, Kanun Tanah Sarawak, bukan rampas tanah rakyat

Secara Rawak

KUCHING: Seksyen 6, Kanun Tanah Sarawak merupakan proses penyukatan perimeter tanah komunal sebelum surat hak milik tanah dikeluarkan di bawah Seksyen 18, Kanun Tanah Sarawak.

Demikian tegas Yang Amat Berhormat (YAB) Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg semasa berucap dalam Jamuan Malam Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) sempena Ulang Tahun ke-63 SDNU dan Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) Ke-35 di sini malam tadi.

Ketua Menteri memberitahu, setakat 31 Disember 2018, kira-kira 877,185 hektar bersamaan 2.167 juta ekar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah disukat perimeternya.

Menurut beliau, daripada jumlah tanah itu, seluas 712,000 hektar tanah NCR di negeri ini telah diwartakan.

“Bagaimanapun, di dalam media sosial ada pihak cuba memutar-belitkan perkara ini dengan mendakwa kerajaan negeri merampas tanah rakyat dengan melakukan kerja-kerja penyukatan perimeter tanah NCR mengikut Seksyen 6, Kanun Tanah Sarawak.

“Tetapi, dakwaan seperti itu tidak tepat kerana kerajaan negeri ikhlas untuk mengembalikan hak tanah NCR kepada para pemiliknya,” jelas beliau.

Ketua Menteri menambah, sebanyak 24,920 lot individu telah dikeluarkan bagi peringkat kedua penyukatan perimeter melibatkan seluas 31,341 hektar tanah.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 24,000 lot individu dan 9,923 surat tanah individu telah dikeluarkan di bawah Seksyen 19, Kanun Tanah Sarawak meliputi 10,512 hektar,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru