Wednesday, August 17, 2022

Pelajar Unimas ketengah perabut berilhamkan kraftangan Sarawak

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: ‘Tambok Stool’ atau bangku tambok yang diilhamkan daripada beg anyaman yang digunakan oleh kaum Bidayuh di Sarawak adalah antara hasil karya pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Pesta Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF).

Norfarhanan Norhasim yang menghasilkan bangku itu berkata beliau menggunakan reka bentuk tambok, iaitu beg anyaman yang digunakan oleh kaum Bidayuh dalam kehidupan seharian mereka untuk mengangkat barang.

“Saya gabungkan idea tersebut dengan tempat menyimpan barang dan boleh juga digunakan sebagai tempat duduk yang lebih menarik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pesta perabot itu yang bermula semalam hingga Isnin depan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Norfarhanan adalah antara lima pelajar tahun ketiga Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Unimas yang telah dipilih oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) untuk mempamerkan prototaip perabot mereka di MIFF 2019.

Pelajar-pelajar ini dipilih melalui pertandingan yang dianjurkan oleh PUSAKA dan Unimas pada tahun lepas, yang mana pertandingan itu diadakan bagi tujuan mempromosikan hasil karya pelajar tempatan.

Selain itu, ia juga sebagai platform untuk menggalakkan pereka muda menceburi bidang reka bentuk perabot dan melahirkan lebih banyak industri perabot Sarawak.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Unimas, Muhammad Taufiq Md Yazid menghasilkan meja ‘Kumbs Console’ yang diinspirasikan oleh motif corak tekstil tenunan tangan tradisional kaum wanita Iban, Sarawak iaitu Pua Kumbu.

Keunikan hasil rekaannya terletak pada aspek teknikal dan reka bentuk corak yang melambangkan pelbagai tujuan dan kegunaan sebagai unsur hiasan dalaman.

Pada pameran kali ini, PUSAKA turut mempromosikan kayu Akasia dari Sarawak yang digunakan oleh kelima-lima pelajar Unimas itu dalam hasil rekaan mereka.

— BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru