Wednesday, August 17, 2022

Duti setem: Serahkan kepada kerajaan persekutuan umumkan – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak menyerahkan kepada kerajaan persekutuan untuk mengumumkan mengenai duti setem yang dibangkitkan Sabah dan Sarawak berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Bila orang bertanya keapda saya, maka saya katakan biarlah kerajaan persekutuan yang umumkan. Sudah tentu kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) akan menyokong isu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Wanita Antarabangsa di sini hari ini.

Pada masa ini semua kutipan duti setem, dimasukkan ke kewangan kerajaan persekutuan walaupun mengikut MA63, duti setem yang dikutip di Sarawak dan Sabah sepatutnya diterima kedua-dua negeri tersebut.

Ini kerana pengurusan tanah di Sabah dan Sarawak terletak di bawah Kanun Tanah masing-masing.

Abang Johari berkata, terdapat pelbagai perkara lain yang dibincangkan dan “Saya sebut mengenai duti setem kerana Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) juga menyebut mengenainya”.

Selasa lepas, Dr Mahathir mengadakan mesyuarat tertutup hampir dua jam bagi mengkaji semula MA63 dan memaklumkan terdapat sedikit perbezaan pendapat antara kerajaan persekutuan dan Sabah dan Sarawak atas perkara tersebut.

Beberapa kertas kerja mengenai pelbagai fungsi kerajaan dibentangkan dalam Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak MA63 dan hampir kesemuanya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal untuk kajian lebih mendalam sebelum dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya.

Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak MA63 bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Malaysia, pertama kali bermesyuarat pada 17 Dis lepas.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, Kabinet telah bersetuju untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Malaysia pada mesyuarat Kabinet Rabu lepas.–BERNAMA

Foto: TVSarawak.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru