KUCHING: Tiada berlaku sebarang pencerobohan atau penerokaan di Taman Negara Gunung Mulu oleh sebuah syarikat perladangan seperti didakwa sekumpulan individu yang antara lain menularkan isu berkenaan di dalam media sosial, baru-baru ini.

Isu tersebut kemudian telah dibangkitkan di dalam mesyuarat yang diadakan bersama pelbagai agensi seperti Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) termasuk penduduk dari Long Terawan, Batu Bungan dan Penan.

Mesyuarat yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Jawatankuasa Tindakan Long Terawan, Dennis Along dan Willie Kajan turut memutuskan bahawa jarak antara aktiviti penerokaan yang dilakukan adalah jauh dari Taman Negara Mulu dan tiada aktiviti lain dijalankan berhampiran kawasan itu.

Aktiviti penerokaan yang didakwa dijalankan syarikat berkenaan terletak jauh dari sempadan Taman Negara Gunung Mulu iaitu di kawasan B.

Dalam pada itu, JHS akan terus bekerjasama dengan pihak SFC untuk memastikan Taman Negara Gunung Mulu atau mana-mana Kawasan Terlindung Sepenuhnya tidak tercemar dengan aktiviti-aktiviti haram.

Foto Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS