Wednesday, August 17, 2022

Sarawak, Edge Global Norway laksana projek berasaskan penghutanan semula

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk menjalankan projek komersial berasaskan penghutanan semula melalui kerjasama dengan Edge Global Norway AS.

Kerajaan negeri menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat itu untuk menerajui pembangunan, pembiayaan, pelaksanaan dan operasi berasaskan penghutanan semula, projek komersial rantaian nilai bersepadu.

Di bawah MoU itu, Sarawak dan syarikat Norway itu akan membincangkan dan bekerjasama untuk melaksanakan aktiviti berkaitan projek seperti pemetaan ekosistem, kajian pelepasan asas, penilaian stok karbon dan analisis keadaan tanah untuk menentukan metodologi yang optimum bagi pemulihan hutan.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Dr Wan Lizozman Wan Omar, menandatangani MoU itu bagi Sarawak dan Edge Global Norway AS diwakili oleh rakan kongsinya Datuk Torstein Dale Sjotveit.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu, Abang Johari berkata kerajaan negeri telah mengamalkan dasar pengurusan hutan lestari untuk mengekalkan keseimbangan antara penggunaan komersial hutan dan perlindungan alam sekitar.

“Sarawak mempunyai dasar penggunaan tanah yang amat jelas dan negeri ini menyasarkan enam juta hektar bagi produk kayu yang mampan, termasuk satu juta hektar perladangan hutan perindustrian, satu juta hektar sebagai kawasan yang dilindungi sepenuhnya, dan empat juta hektar untuk pertanian (iaitu tiga juta hektar untuk kelapa sawit dan satu juta hektar untuk tanaman lain),” katanya.

Abang Johari berkata baki 1.4 juta hektar tanah yang lain untuk pelbagai pembangunan.

Beliau berkata kerajaan negeri telah memulakan perladangan hutan perindustrian sejak 1998 dengan mengeluarkan lesen untuk penanaman hutan yang meliputi 2.5 juta hektar.

“Matlamatnya ialah mengurangkan tekanan ke atas hutan semula jadi dan memastikan bekalan bahan mentah yang mampan untuk industri kayu dengan sasaran satu juta hektar untuk penanaman menjelang 2020,” katanya, sambil menambah setakat ini, sebanyak 420,146 hektar untuk penanaman.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru