KUCHING: Sindiket pekerjaan palsu akan memperdaya sesiapa sahaja tanpa mengira kaum atau lokasi.

Pengerusi Persatuan Patriot Sarawak Datuk John Lau justeru mengingatkan mereka yang mencari pekerjaan supaya berhati-hati sebelum menerima pekerjaan di luar negara.

“Apabila ditawarkan pekerjaan, pastikan anda menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa untuk memastikan kesahihannya,” ujarnya.

Pada Disember lalu, 40 anak Sarawak terpedaya  oleh sindiket pekerjaan palsu sehingga akhirnya disumbat di penjara di Kemboja.

Pada bulan lalu pula, lapan orang lagi anak Sarawak terpedaya dalam satu kes penipuan pekerjaan di Liberia.

“Semak latar belakang agensi pekerjaan dengan Kementerian Sumber Manusia atau kedutaan jika anda mahu bekerja di luar negara,” katanya.