Ada apa dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB)?

Berita tentang tindakan Ahli Parlimen Sri Aman Datuk Masir Kujat  keluar daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidaklah terlalu mengejutkan.

Sebelum ini sudah ada desas-desus bahawa beberapa orang bekas wakil rakyat BN akan menyertai PSB.

Ternyata desas-desus itu benar. Memang betul, tiada angin pokok tidak akan bergoyang dalam politik.

Juga, tiada teman yang abadi kerana yang abadi ialah kepentingan.

Jadi, apa kepentingan beberapa orang bekas wakil rakyat BN menyertai PSB?

Masir  dalam satu kenyataan dipetik berkata, beliau meletak jawatan sebagai naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) semalam.

“Saya percaya PSB ialah parti pelbagai kaum yang sebenar dan berupaya menyatupadukan kaum di Sarawak. yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri,” katanya.

“PSB merupakan parti tempatan yang bebas dan boleh bersuara bagi semua warga Sarawak, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya lagi dalam kenyataan itu.

Dilaporkan, nama lain  yang turut menyertai PSB ialah bekas ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri Muran.

Juga, bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyallau Badak, dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun yang dipecat oleh PRS menjelang pilihan raya umum lalu sehingga menyaksikan Selangau dan Lubok Antu masing-masingnya tewas kepada Pakatan Harapan.

Adakah ini petanda bahawa PSB akan semakin kukuh dan memainkan peranan besar dalam pilihan raya akan datang?

Apakah implikasi terhadap usahanya untuk menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana Joseph Entulu dan Masir ialah bekas pemimpin PRS.

Tentu ini akan menyulitkan keadaan kerana Presiden PRS Tan Sri Dr James Jemut Masing tentu tersinggung dengan langkah pemimpin berkenaan.

Masing tentu memberi tentangan, selain SUPP jika PSB memohon untuk menyertai GPS.

Adakah PSB akan menampilkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya negeri nanti? Kelihatannya, sudah terang lagi bersuluh.

Parti itu bagai mahu menjadi ‘kingmaker’.

PBS yang sebelum ini dikenali sebagai UPP sedang membuat perhitungan politik yang penting.

Mungkinkah ia akan menentukan dinamika politik Sarawak nanti?